‘Apalah Nasib Saya’: Peniaga Resah Kedai Bakal Diroboh


shadow

“Ada banyak tokong-tokong dan kuil haram tapi mengapa kedai saya yang mesti dirobohkan,” demikian keluhan pemilik Restauran Ali Kafe Tomyam Seafood yang terletak di Lembah Pantai, Bangsar.

Ali Syed Mohamed, pemilik restauran berkenaan kelihatan tertekan dengan tindakan pihak DBKL yang dikira tidak adil terhadapnya.

Bermula dengan gerai menjual burger sejak tahun 80-an, dan kemudian berkembang sedikit demi sedikit sehingga mampu membina sebuah kedai yang selesa bagi pelanggannya.

“Saya berniaga tahun 80-an, dulu saya jual burger. Mulanya saya jual burger dan buka stall air, kemudian berkembang, saya buka mee goreng dan seterusnya kedai tom yam ini sampailah sekarang.

“Pada tahun 90an, saya sudah mempunyai lesen. Saya bukan haram,” katanya.

Bagaimanapun, restoran miliknya diberi notis pengosongan gara-gara ia tersebut dibina atas tanah rezab kerajaan.

Sedangkan, Ali telah pun memeterai perjanjian selama 10 tahun yang berbaki 5 tahun namun ia dibatalkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) tanpa persetujuannya.

“Saya jaga tempat saya cari makan, saya dah laburkan kos yang banyak untuk membina kedai dan pastikan pelanggan-pelanggan saya selesa.

“Tetapi apabila saya dah buat kedai sampai ke tahap ini, tiba-tiba nak roboh dan cakap perniagaan saya haram. Mana boleh macam tu, saya rakyat Malaysia, anak jati Lembah Pantai. Kalau kerajaan tak tolong, siapa nak tolong saya.

“Tiba-tiba DBKL dan pejabat tanah dan galian hantar notis nak roboh kedai saya, nak ambil tindakan.

“Mengapa baru sekarang, sedangkan sebelum dan ketika kedai ini dibina, tidak ada satu pun sama ada pihak DBKL mahupun pejabat tanah hantar notis larangan.

Ali menambah, begitu banyak tokong dan kuil haram yang terdapat di Kuala Lumpur bagaimanapun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak pula menggesa mereka untuk merobohkan premis.

Malah katanya, Kuil Sri Maha Mariamman Seafield yang berlaku rusuhan sehingga mengorbankan seorang anggota bomba pun sehingga kini masih belum dirobohkan.

“Adakah adil untuk saya, sedangkan keberadaan kedai saya ini langsung tidak menganggu gugat ketenteraman awam. Belum ada lagi rusuhan dan kematian di sini tetapi kedai saya dulu yang PBT mahu robohkan. Kenapa?

“Kalau mereka kata tokong haram pun telah dirobohkan dan ada buktinya maka saya akur kalau nak roboh kedai saya. Ini baru la adil,” katanya lagi.

Menurut Ali lagi, bagi menyelesaikan permasalahan itu, beliau telah mengemukakan surat rayuan kepada banyak pihak termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Fadzil serta pihak kementerian berkaitan.

Bagaimanapun, jawapan yang diterima masih menghampakan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perniaga dan Penjaja Bumiputra Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL), Dato’ Seri Haji Rosli Sulaiman menyifatkan tindakan kerajaan yang membatalkan lesen perniagaan dan ingin merobohkan restoran Ali Café Tomyam Seafood ini dianggap satu penganiayaan kepada pengusaha.

“Sepatutnya kerajaan ikut perjanjian yang masih berbaki 5 tahun bagi membolehkan penguasaha membuat persediaan untuk berpindah.

“Dia dah berniaga lama dan bukan mudah untuk mendapatkan modal semula sekiranya terus berpindah. Ini tidak adil untuk pihak pengusaha.

“Ini bukan kedai yang satu hari siap, ia sudah tentu ambil masa untuk dibina namun semasa ia dibina tidak ada satu teguran atau notis dari pihak PBT untuk menghentikan pembinaan bangunan ini.

“Akhirnya bila bangunan ini siap, datanglah penguatkuasa PBT, datanglah jabatan tanah memberi notis untuk merobohkan. Ini satu penganiayaan.

Sehubungan itu, Rosli meminta pihak kerajaan mahupun DBKL supaya menyiasat semula tindakan berkenaan.
Malah katanya, pihak PBT juga seharusnya menjanjikan pampasan yang bersesuaian dengan kos yang telah dilaburkan oleh penguasaha.

“Kita tidak mahu orang melayu merempat, jadi bantulah peniaga melayu kita,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda