Apandi Ali akan jadi saksi bicara kes SRC International


shadow

BEKAS peguam negara Mohamed Apandi Ali akan memberi keterangan sebagai saksi pihak pembelaan dalam perbicaraan SRC International melibatkan Najib Razak.

Bekas perdana menteri berdepan tujuh tuduhan jenayah kerana didakwa menyelewengkan dana sebanyak RM42 juta.

Pasukan pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini, mereka akan menghubungi ahli politik Umno berusia 69 tahun itu susulan pertikaian mengenai ketepatan dokumen yang peguam Najib ingin serahkan sebagai bukti.

Apandi akan mengesahkan kenyataan akhbar pada 2016 yang membebaskan Najib daripada salah laku selepas siasatan oleh beberapa agensi penguatkuasa pada tahun sebelumnya, kata peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammad kepada mahkamah.

Najib membacakan sebahagian kenyataan akhbar Apandi petang ini, yang diterbitkan oleh sebuah syarikat media. Kenyataan Apandi yang dibacakan oleh Najib, mengatakan:

a) Tiada bukti menunjukkan YAB PM menyalahgunakan kedudukannya semasa Mesyuarat Kabinet yang meluluskan jaminan kerajaan mengenai pinjaman RM4 bilion kepada SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP);

b) Bukti juga menunjukkan proses kelulusan pinjaman oleh KWAP dan kelulusan jaminan pinjaman oleh Kabinet dilakukan dengan sewajarnya;

c) Tiada bukti menunjukkan YAB PM meminta atau dijanjikan sebarang rasuah daripada mana-mana pihak sama ada sebelum, semasa atau selepas keputusan Kabinet dibuat;

d) Bukti secara keseluruhannya tidak mendedahkan sebarang percanggahan kepentingan di pihak YAB PM; dan

e) SPRM sendiri mengakui berdasarkan siasatan mereka, tidak ada bukti daripada saksi yang dapat menunjukkan YAB PM melakukan apa-apa amalan rasuah.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan Apandi dipanggil selepas pendakwa raya V Sithambaram mempersoalkan kenyataan itu dan berkata kenyataan media tidak boleh digunakan sebagai bukti.

Sebagai saksi pihak pembela, Apandi akan dikenakan soal balas oleh pihak pendakwaan, yang diketua oleh Peguam Negara Tommy Thomas.

Semasa membaca kenyataan saksi awal hari ini, Najib memberi keterangan yang beliau tidak menyedari transaksi di dalam akaun bank AmBank dan berkata ia dimanipulasi oleh Low Taek Jho, yang berkomplot dengan jurubank dan eksekutif lain.

Beliau berkata turut memutuskan untuk menggugurkan saman terhadap bekas menteri Kabinet, Ling Liong Sik, yang mendakwa Najib menyalahgunakan dana daripada SRC International.

Najib juga berkata beliau tidak membuat laporan polis pada 2015 mengenai kesilapan dalam akaun Ambank miliknya kerana tidak mahu dilihat campur tangan dalam siasatan pada masa itu.

Najib, 66, berdepan tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa.

Tuduhannya dikaitkan dengan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012 serta dituduh menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.

Perbicaraan disambung semula esok.

Tinggalkan komen anda