Azmin: Tak ada masalah potong elaun menteri tapi tumpu pada rasuah


shadow

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali tidak kisah elaun menteri dipotong sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.

Ia sebagai respons terhadap cadangan yang dibangkitkan banyak pihak terutamanya di media sosial ketika negara berhadapan dengan cabaran ekonomi masa kini.

“Kalau perlu potong, potong. Itu tak ada masalah,” kata Azmin dalam sidang media selepas melawat lokasi kejadian tembok pecah di Bukit Antarabangsa hari ini.

Namun, tambahnya, perkara yang patut diutamakan adalah untuk menguruskan kewangan secara berhemah dan bertanggungjawab supaya  masalah ketirisan, rasuah, dan salah guna kuasa tidak berlaku.

Katanya, hal itu kerana, “pengalaman pahit sejak beberapa tahun lalu” telah memberikan kesan parah bukan sahaja kepada ekonomi negara, tetapi juga rakyat keseluruhannya.

“Sekiranya kerajaan hari ini telah meletakkan fokus untuk untuk membanteras rasuah dan amalan salah guna kuasa dan berbelanja secara berhemah, saya kira kita dapat kembali untuk menguruskan pembangunan ini dengan lebih bertanggungjawab,” katanya.

Cadangan agar elaun menteri dipotong mula timbul setelah dilaporkan bahawa pemberian “bayaran insentif perkhidmatan kritikal” (BIPK) akan dihentikan kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan.

Langkah itu diumumkan pada pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 20 Disember.

Ia mengundang reaksi rakyat yang menentang langkah itu terutama di media sosial.

Ia turut menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga tidak bersetuju dengan langkah itu dan memberi cadangan agar elaun menteri dan ahli politik yang sebaliknya dipotong.

Turut tular di media sosial tidak lama kemudian, keratan akhbar yang memaparkan elaun dinikmati menteri, antara lain elaun parkir berjumlah RM5,700.

Hal itu merancakkan lagi perdebatan dalam kalangan warganet tentang kewajaran elaun menteri dipotong bagi membantu negara berdepan cabaran ekonomi.

Bagaimanapun, beberapa menteri menyanggah keratan akhbar itu, dan menjelaskan bahawa angka berkenaan merujuk kepada elaun menteri lama yang berbeza dengan butiran elaun diterima menteri ketika ini.

Antara elaun tetap terkini dinikmati menteri setiap bulan adalah elaun keraian, elaun perumahan, elaun menteri kabinet, elaun pembantu rumah, elaun pemandu berjumlah RM25,000 sebulan, tidak termasuk elaun tidak tetap seperti elaun cuti, elaun harian, elaun makan dan elaun-elaun lain.

Semalam, Syed Saddiq membuat ciapan di Twitternya memaklumkan pekeliling pemberhentian elaun kritikal itu ditangguhkan dengan persetujuan perdana menteri dan akan dibawa dalam mesyuarat kabinet akan datang untuk perbincangan.

Azmin turut memaklumkan perkara sama, dan memberitahu bahawa satu keputusan akan dibuat dalam mesyuarat tersebut.

“Kita mengambil masa selama empat ke lima jam setiap hari Rabu utk membincangkan masalah-masalah seperti ini. Kita akan bincangkan dan satu keputusan akan diambil dalam mesyuarat jemaah menteri,” katanya kepada pemberita.

Sektor perkhidmatan tradisional

Dalam perkembangan lain, Azmin turut mengulas kenyataan Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Mohd Uzir Mahidin bahawa sektor perkhidmatan negara masih tidak memenuhi sasaran sumbangan 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang merupakan ciri ditetapkan untuk mencapai status negara maju.Kata Azmin, sektor perkhidmatan yang dimaksudkan oleh DOSM ialah sektor perkhidmatan tradisional, manakala kerajaan memberi tumpuan untuk sektor perkhidmatan yang berteknologi tinggi seperti kecerdasan tiruan (AI), e-dagang, dan perniagaan dalam talian.

“Kena bezakan sektor perkhidmatan dalam negara kita, khususnya pada tahun ini dan tahun lepas mencatatkan satu pencapaian yang agak baik, namun sektor perkhidmatan yang dimaksudkan adalah sektor perkhidmatan tradisional.

“Kita mahu melangkah ke satu tahap yang lebih kompetitif, supaya perkhidmatan yang dibekalkan adalah perkhidmatan yang berteknologi tinggi, bukan sahaja perkhidmatan makanan secara tradisional,” katanya.

Azmin sebelum itu meninjau satu unit rumah banglo di Bukit Antarabangsa yang mengalami kerosakan akibat pergerakan tanah.

Dalam sidang media, Azmin menjelaskan, siasatan dan tinjauan sedang dibuat oleh agensi berkenaan termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ke atas kejadian tersebut.Iklan

Katanya, laporan penuh akan dikemukakan kepada kerajaan negeri dan dibincangkan pada 8 Januari agar keputusan lanjut dapat diputuskan.Unit terlibat dibina di cerun bukit di atas tanah persendirian.

Maklumnya juga, tuan rumah unit berkenaan bersama penghuni tiga unit lain memberikan kerjasama dengan berpindah keluar, manakala jiran di unit bersebelahan sanggup bekerjasama untuk mengosongkan air di kolam renang bagi mengurangkan tekanan terhadap tanah.

Tambahnya, MPAJ sentiasa melakukan pemantauan secara dekat di kawasan berkenaan yang merupakan “antara kawasan paling sensitif”, bagi memastikannya selamat diduduki.

Bukit Antarabangsa pernah mengalami beberapa kejadian tanah runtuh. Antara yang paling mendapat perhatian ialah tragedi Highland Towers pada 1993 dan yang mengorbankan 48 orang, dan kejadian melibatkan 14 banglo pada 2008 yang mengorbankan empat orang.

Tinggalkan komen anda