Beg pemandu lori dicuri ketika jemaah sujud solat Maghrib


shadow

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kecurian di Surau Dagang Avenue, Ampang, Selangor, pada Khamis lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Noor Azmi Yusoff, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, pemandu lori lelaki berusia 31 tahun, pada pukul 7 malam.

“Mangsa baru selesai menghantar barang pelanggan di sekitar Taman Dagang melalui aplikasi Grab Car dan kemudian singgah di surau tersebut untuk menunaikan solat Maghrib.

“Mangsa meletakkan beg galas di belakangnya dan terus menunaikan solat Maghrib. Selesai solat, dia menyedari beg galasnya telah dicuri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata, mangsa kehilangan pelbagai dokumen peribadi, satu telefon bimbit, pakaian serta sejumlah wang tunai.

“Berdasarkan hasil siasatan dan semakan rakaman litar tertutup (CCTV) di dalam surau, polis mendapati jenayah itu dilakukan seorang lelaki yang telah mencuri beg tersebut ketika mangsa dan jemaah yang lain sedang bersujud.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali dan boleh juga dikenakan sebat,” jelas beliau.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil ke mana-mana balai polis atau menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Nurhaziq Norizan di talian 03-42524866.

Pihak polis turut menasihati orang ramai agar peka dengan keadaan sekeliling dan menjaga keselamatan diri dan harta benda agar tidak membuka peluang kepada penjenayah mengambil kesempatan atas kelalaian atau kecuaian diri sendiri.

  • astro Awani

Tinggalkan komen anda