Dr M boleh lantik Anwar jadi menteri tugas khas, kata Kadir


shadow

Dr Mahathir Mohamad boleh membawa Anwar Ibrahim ke dalam Kabinet dengan melantiknya sebagai menteri tugas khas, menurut A Kadir Jasin.

Mengulas berkenaan keputusan perdana menteri untuk merombak Kabinet susulan kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Tanjung Piai, Kadir berkata sudah tiba untuk menyemak kembali peranan Anwar.

“Rombakan kabinet sangat diperlukan bukan saja kerana kadar sokongan terhadap PH menurun, tetapi ada menteri yang jelas tidak menunjukkan prestasi yang baik.

“Perdana menteri boleh membawa Anwar ke dalam Kabinet sebagai menteri tugas khas walaupun Anwar secara berseloroh berkata dia tidak memohon untuk jawatan dalam kabinet,” katanya dalam tulisan terbaru di blognya hari ini.Iklan

Kadir yang merupakan penasihat media dan komunikasi perdana menteri, berkata pengurangan politiking dan penumpuan kepada aspek pentadbiran akan membawa kebaikan.

Mengulas isu peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar, wartawan veteran itu berkata lebih baik jika soal itu diserahkan kepada dua pemimpin tersebut.

“Campur tangan boleh menjejaskan peralihan yang dipersetujui,” katanya lagi.

Beliau juga memberikan nasihat kepada Anwar, berdasarkan episod 1998.

“Dan jika Anwar ada belajar apa-apa daripada masa lalu, saya yakin dia perlu mengawal para penyokongnya yang tidak sabar,” katanya.

Pada 2 September 1998, Mahathir memecat Anwar atas dasar moral, yang disangkal Anwar sebagai dakwaan yang direka.

Ketika itu ada yang berpandangan pergeseran berpunca daripada ketidaksabaran Anwar untuk menggantikan Mahathir.

Dua dekad kemudian, Mahathir kembali menjadi perdana menteri dan Anwar sekali lagi dinamakan sebagai penggantinya.

Walaupun kedua-duanya berulang kali memberi jaminan bahawa peralihan kuasa akan berlaku seperti dirancang, ada khabar angin bahawa Anwar akan diketepikan.

Anwar tak sebagus Dr M kendali seteru

Kadir juga menceritakan kembali bagaimana Anwar menyebut tentang persemaan kemeja yang dipakai mereka, ketika ditemui di majlim makan malam sempena ulang tahun ke-20 Malaysiakini pada 23 November lalu.

“…(Anwar) pakar dalam melembutkan hati (disarming) seteru tetapi mungkin tidak sebagus Tun (Mahathir) dalam menguruskan musuh.

“Saya percaya ia juga sebab mengapa dua lelaki ini ‘secara berat hati’ mengakui kekuatan dan kelemahan masing-masing,” katanya lagi.

Mengakui beliau tidak selalu setuju dengan Anwar ketika presiden PKR itu menjadi timbalan perdana menteri, Kadir bagaimanapun tidak setuju dengan usaha memburuk-burukkannya di media pada masa lalu.

“Saya yakin perlu ada had dalam memburukkannya di media susulan pemecatannya daripada Umno dan kerajaan pada 1998, dan kemudian pemenjaraannya untuk (kesalahan) salah guna kuasa dan liwat. Sabitan liwat dibatalkan pada 2004.

“Saya fikir dia sudah cukup menderita dan lagi pula dia berjaya dengan publisiti. Semakin kuat dia dikecam di media semakin kuat penyokongnya bersatu menyokongnya.

“Dan saya tidak salah sepenuhnya. Walaupun BN berjaya kekalkan majoriti dua pertiga dalam PRU 1999, pembangkang mendapat keputusan baik dan Reformasi Anwar tidak padam.

“Ia sebab utama mengapa saya letak jawatan sebagai pengarang kumpulan NSTP pada 2000. Saya tak setuju dengan pandangan bahawa media perlu terus memburukkannya dan tindakan diambil terhadap mereka dalam media yang dikatakan sebagai penyokongnya,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda