Hampir 3,000 orang muda ditahan kerana rasuah sejak 2014


shadow

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seramai 2,740 individu berumur 40 tahun ke bawah daripada 5,186 tangkapan yang dibuat sejak 2014 sehingga bulan lepas.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata daripada keseluruhan 5,186 yang ditahan itu, seramai 2,428 atau 46.8 peratus adalah penjawat awam.

Bimbang dengan perkembangan tersebut, Shamshun Baharin mahu semua pihak agar mengambil langkah pencegahan yang wajar untuk menanganinya dan SPRM sedia membantu.

“Kita perlu tangani masalah ini kerana kita risau golongan muda banyak terbabit dengan rasuah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Antirasuah Majlis Perbandaran Taiping (MPT) di Taiping, hari ini.Iklan

Mengenai rasuah membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Shamshun Baharin berkata SPRM menerima sebanyak 1,871 maklumat termasuk penyelewengan dan salah guna kuasa bagi tempoh 2014 hingga 12 Dis lalu.

Menurut Shamshun Baharin, daripada maklumat yang diterima, sebanyak 126 kertas siasatan telah dibuka dan seramai 73 individu telah ditangkap sepanjang tempoh itu.

Terdahulu, dalam ucapannya Shamshun Baharin memuji usaha MPT sebagai PBT pertama di negara ini melancarkan Pelan Antirasuah 2020 hingga 2024 dan menyifatkannya sebagai komitmen serta keinginan warga organisasi untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan bebas rasuah.

“Elemen integriti dan antirasuah tidak dapat dipisahkan dalam operasi harian mana-mana PBT supaya misi organisasi untuk menjadi penggerak berwibawa, dinamik dan berdaya saing dalam penyampaian perkhidmatan perbandaran dapat dicapai,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPT Borhan Abdul Halim berkata Pelan Antirasuah MPT menumpukan kepada empat bidang iaitu penguatkuasaan undang-undang, perolehan awam, tadbir urus organisasi dan perundangan.

– Bernama

Tinggalkan komen anda