Hans Isaac tidak akan tunduk desakan letak jawatan


shadow

HANS Isaac bertegas tidak akan tunduk kepada desakan beberapa persatuan yang mendesak beliau letak jawatan sebagai pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Katanya, beliau dilantik oleh menteri dan terpulang kepada menteri untuk memecatnya, jika perlu.

“Pelantikan saya dibuat oleh menteri. Saya tidak akan tunduk… hanya menteri saja yang boleh pecat saya.

“Kalau betul menteri pecat saya, saya akan hormat dan sekurang- kurangnya sebelum saya berhenti, saya dah lakukan tugas saya,” katanya pada sidang media di Kompleks Finas di Hulu Kelang, Selangor.

Selasa lalu, enam persatuan perfileman menuntut Hans serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan seluruh ahli lembaga pengarah Finas meletakkan jawatan atas dakwaan gagal membawa pembaharuan untuk mengangkat sinema Malaysia.

Enam persatuan itu ialah Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima); Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM); Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN); Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit); Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM) dan Persatuan Sinematografi Malaysia (MYSC).

Sementara itu, Hans mengalu-alukan wakil enam persatuan ini untuk datang ke pejabatnya bersua muka dan berbincang.

“Mereka semua ada nombor telefon saya, boleh telefon bila-bila masa. Saya dan lembaga Finas terbuka dan kita tidak sembunyikan maklumat daripada umum,” katanya.

Saya dalam industri ini sudah 27 tahun, kata Pengerusi Finas Hans Isaac. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Disember, 2019.
Saya dalam industri ini sudah 27 tahun, kata Pengerusi Finas Hans Isaac. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Disember, 2019.

Pada sidang media Selasa lalu, Presiden Profima Khir Mohd Noor mendakwa Gobind tidak peduli akan nasib industri filem serta masa depan sinema Malaysia sebagai seni budaya dan intelektual.

“Sikap acuh tak acuh menteri terhadap masalah industri selain tak mesra dengan penggiat seni menyebabkan kami berasa jauh dan terpinggir,” katanya, seperti dipetik media.

Beliau juga mendakwa Gobind mengelak daripada mengadakan pertemuan dengan mereka selain campur tangan dalam soal kedudukan Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Isnin lepas Finas mengumumkan Ahmad Idham letak jawatan berkuat kuasa 10 Mac 2020, genap setahun selepas pelantikannya. Finas menyebut Ahmad Idham mahu memendekkan tempoh kontrak dua tahunnya atas “sebab-sebab peribadi”.

Menurut Hans, desakan letak jawatan itu hanya dibangkitkan sebilangan ahli persatuan.

“Desakan itu cuma segelintir individu saja dan saya hormat mereka ini.

“Saya dalam industri ini sudah 27 tahun. Individu ini bukan mewakili kesemua pandangan ahli. Mereka cuma wakil dan bukan pandangan keseluruhan ahli. Sebenarnya separuh dari ahli bertanyakan saya, mereka kata tidak tahu akan hal ini,” katanya.

Hans juga menafikan tuduhan beliau campur tangan dalam kerja Ahmad Idham sehingga menyebabkan hubungan mereka renggang, kerja terjejas dan membawa kepada keputusan pengarah Mr Cinderella itu memendekkan tempoh jawatan.

Jelas Hans, sepanjang mempengerusikan Finas sejak April lalu, beliau hanya dua kali mencampuri tugas CEO iaitu dalam urusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja filem dan penganjuran Festival Filem Malaysia.

“Sebab, CEO kata tak faham mengenai (dua) perkara itu jadi minta saya ambil alih. Ini pun dibuat dalam mesyuarat lembaga, ada diminitkan,” katanya.

Jelas Hans, semua pihak di Finas ada peranannya masing-masing dan semua pihak memainkan peranan mereka.

“Setiap ahli lembaga ada peranannya. Ini perbezaan sekarang berbanding dulu… dulu kita tak tahu pun siapa ahli lembaga,” katanya.

Pengerusi Finas Hans Isaac bersama Timbalan Pengerusi Finas Affendy Ali Dally pada sidang media hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Disember, 2019.
Pengerusi Finas Hans Isaac bersama Timbalan Pengerusi Finas Affendy Ali Dally pada sidang media hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Disember, 2019.

Sehubungan itu, Hans tegas tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang- undang jika kumpulan yang melemparkan dakwaan beliau campur tangan gagal mengemukakan bukti.

“Saya akan ambil tindakan. Saya ini orang yang berintegriti, tidak pernah (ada) benda lain selain integriti. Sebagai anak pegawai tentera laut saya dibesarkan dengan disiplin. Saya sentiasa jujur dengan apa saya cakap.

“Dakwaan itu jika benar, menjejaskan nama saya. Saya akan ambil tindakan undang- undang,” katanya.

Semalam, Gobind mengesahkan Ahmad Idham memendekkan tempoh jawatannya dan penggantinya belum dikenal pasti.

Hari ini, Timbalan Pengerusi Finas Affendy Ali Dally berkata pengganti Ahmad Idham akan diumumkan selepas tempoh kontraknya tamat pada Mac ini.

Beliau juga menafikan ketiadaan CEO menjejaskan urusan Finas.

Tinggalkan komen anda