Himpunan anti-Jawi hanya untuk ‘luahkan rasa’, kata kumpulan pendidikan Cina


shadow

HIMPUNAN kumpulan pendidikan Cina berhubung pembelajaran tulisan Jawi di sekolah rendah vernakular bukan satu bentuk bantahan, tetapi rayuan kepada kerajaan untuk membatalkan langkah berkenaan, kata Pengerusi Dong Jiao Zong, Tan Tai Kim.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini bahawa desakan untuk mengadakan perhimpunan itu akan membawa kepada kesan lain, seperti tekanan kumpulan pendesak Melayu untuk menggesa sekolah vernakular ditutup.

“Ia hanya untuk meluahkan perasaan kami, untuk merayu. Ia bukan untuk membantah,” katanya kepada The Malaysian Insight berhubung perhimpunan yang dirancang untuk diadakan pada 28 Disember.

Tambah Tan, Dong Jiao Zong akan membuat keputusan terakhir sama ada himpunan itu akan diteruskan atau sebaliknya dalam mesyuarat pada 26 Disember. 

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia(Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) baru-baru ini mengumumkan rancangan mereka untuk mengadakan perhimpunan di Kolej New Era di Kajang.

Menurutnya, perhimpunan itu adalah bagi menyatakan pendirian mereka kepada Kementerian Pendidikan berhubung langkah untuk memperkenalkan pembelajaran tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 4 untuk sekolah rendah vernakular.

Dong Jiao Zong turut meminta kumpulan Cina lain yang berminat untuk menyertai perhimpunan itu berdaftar dengan Dong Zong, dan menambah kumpulan pendidikan Tamil juga turut diundang.

Terdahulu hari ini, Dr Mahathir berkata perhimpunan itu akan menyebabkan kumpulan pendesak Melayu mengadakan perhimpunan mereka sendiri dan membangkitkan semula retorik untuk menutup sekolah vernakular.

“Jika anda melakukan perkara seperti itu, dan anda akan mendapat reaksi,” beliau dipetik sebagai berkata dalam laporan media ketika bercakap kepada pemberita sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir berkata Malaysia ditubuhkan daripada rakyat pelbagai kaum dan rakyat perlu ingat apa yang dirasakan oleh kumpulan etnik lain.

Beliau berkata, bagaimanapun terpulang kepada rakyat untuk hadir ke perhimpunan berkenaan kerana “ini adalah negara bebas” namun menambah, perlu ada sensitiviti terhadap kaum lain.

Kementerian Pendidikan telah mengurangkan halaman daripada enam kepada tiga muka surat pembelajaran tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 4 untuk sekolah rendah vernakular. Tiga muka surat itu memaparkan terjemahan dan penjelasan makna Jawi yag digunakan dalam simbul negara, seperti Jata Negara, pada setem dan matawang Ringgit.

Susulan desakan daripada kumpulan pendiidikan vernakular sebelum ini, kementerian memutuskan untuk memberikan kebebasan kepada sekolah vernakullar untuk membuat keputusan untuk melaksanakan pembelajaran itu atau sebaliknya. Ini akan diputuskan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan kaji selidik dalam kalangan ibu bapa.

Dong Jiao Zong bagaimanapun berkata, sudah tiada masa untuk berbuat demikian kerana penggal baharu persekolahan akan bermula bulan depan, dan tiada latihan diberikan kepada guru mereka untuk melaksanakan pembelajaran itu.

Tinggalkan komen anda