Ibu bapa Nora Anne pertimbang inkues, kata peguam


shadow

PEGUAM yang mewakili ibu bapa remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, yang ditemui mati di kawasan hutan di Negeri Sembilan berkata, mereka mempertimbangkan untuk memohon inkues bagi menyiasat punca kematian anak mereka.

S.N. Nair memberitahu Free Malaysia Today bahawa padangan berkenaan merancang untuk membuat permohonan rasmi, kerana mereka percaya kematian anak mereka mempunyai unsur jenayah.

Mereka merasakan “siasatan lebih mendalam diperlukan” walaupun pihak polis menolak unsur penculikan atau jenayah lain, Nair dipetik sebagai berkata.

“Mereka mahukan gambaran yang jelas…keluarga Nora Anne mungkin akan memfailkan inkues, kata Nair kepada portal berita berkenaan.

Nora dilaporkan hilang pada awal Ogos, selepas dia dan keluarganya tiba di sebuah pusat pelancongan di hutan simpan Berembun di Negeri Sembilan.

Ibu bapanya berkata, tidak mungkin remaja terbabit meninggalkan vila berkenaan kerana mempunyai masalah pembelajaran, pemalu dan sukar untuk berjalan sendiri.

Dia ditemui 10 hari kemudian dalam keadaan bogel di sebuah jurang kecil, walaupun pencarian besar-besaran dijalankan di kawasan berkenaan. Hasil bedah siasat mendapati kematiannya berpunca daripada kebocoran usus akibat tidak makan dalam tempoh yang lama.

Polis Negeri Sembilan semalam sekali lagi menyatakan tiada unsur jenayah ditemui pada kematian remaja berkenaan.

Tinggalkan komen anda