Ini je kan, soal Permaisuri Agong merujuk tiga muka surat Jawi


shadow

“Ini sahaja kan,” titah Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merujuk kepada tiga muka surat pengenalan Jawi untuk murid-murid Tahun Empat di sekolah rendah.

Melalui Twitternya, Permaisuri Agong berkongsi ciapan seorang pengikutnya dan imej buku teks bahasa Melayu darjah empat yang memaparkan tiga muka surat pengenalan tulisan Jawi.

Ini selepas pengguna Twitter, yang menggunakan nama Zamil Yasrawi berkata setiap pelajar di negara ini wajib mengetahui tulisan pada simbol rasmi negara.

“Setiap pelajar sekolah dalam Malaysia wajib mengetahui apa tulisan yang terkandung pada Jata Negara dan wang Ringgit. Anyway its a simbol rasmi Malaysia, kan,” kata Zamil.

Terdahulu sebelum itu, Tuanku Azizah membalas ciapan seorang lagi pengikutnya, yang menggunakan nama Adly Arief.

“Tiada yang rasis, saya bercakap tentang keindahan Jawi dan kesenian Islam. Tak perlu nak jadi Muslim untuk hargai perkara ini.

“Begitu juga seseorang itu tak perlu jadi Melayu untuk jadi Muslim. Ada juga orang Melayu tapi bukan Muslim. Dalam Islam kita tidak terikat dengan kaum tapi dengan kepercayaan dan keimanan kepada Allah,” tulisnya.

Tuanku Azizah bertitah demikian selepas Adly membalas ciapan baginda yang mengatakan adalah rugi sekiranya orang Melayu tidak pandai menulis Jawi.

“Kenyataan ini boleh timbulkan pertikaian kaum, tuanku.

“Tak bolehkah kita setuju alpabet Latin atau Roman sekadar identiti budaya dan tidak ok untuk paksa kepada orang lain?” tulis Adly.

Tuanku Azizah sebelum itu berkata adalah merupakan satu kerugian jika orang Melayu, Cina dan India di negara ini tidak memahami tulisan masing-masing.

“Sayang kalau orang Melayu tak pandai tulis Jawi atau orang Cina tak pandai tulisan Mandarin atau orang India tak pandai tulis Tamil. Orang Siam dengan tulisan Siamnya.

“ABC itu universal dan global tapi kenalah pandai tulis cara kita juga. Tambahkan ilmu, tak rugi,” ciapnya.

Isu mengenai pengenalan tulisan Jawi khususnya di sekolah vernakular mencetuskan polemik dan bantahan keras terutama daripada badan pendidikan Cina.

Ini mendorong Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan pelaksanaan dasar itu dibuat secara pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Bagaimanapun Pertubuhan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) dan sejumlah NGO mendesak agar lembaga sekolah dibenarkan membuat keputusan sendiri.

Kumpulan pendidikan Cina itu juga berkeras meneruskan hasrat menganjurkan kongres bagi meyakinkan kerajaan agar membatalkan dasar itu di sekolah-sekolah vernakular.

Kumpulan itu juga menegaskan bantahan itu adalah berkaitan pendidikan dan sukatan pelajaran sekolah rendah Cina tetapi bukan mengenai kaum.

Tinggalkan komen anda