Jawatankuasa Kongres AS mengundi draf laporan pemecatan Trump


shadow

JAWATANKUASA Perisikan Dewan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mengundi untuk menerima pakai draf laporan berkaitan pemecatan Donald Trump yang menyalahgunakan kuasanya bagi memberi manfaat kepada kempen pemilihan semula beliau sebagai presiden pada 2020, lapor agensi berita Anadolu. 

Diluluskan dengan margin 13-9, laporan berkenaan bakal dikemuka kepada Jawatankuasa Kehakiman Dewan, yang akan mengadakan perbicaraan pertamanya berhubung kes itu pada Rabu. 

Kelulusan untuk laporan setebal 300 muka surat itu adalah fasa seterusnya bagi Jawatankuasa Kehakiman menggubal artikel khusus mengenai pemecatan Trump.

Laporan itu ditulis oleh staf ketiga-tiga jawatankuasa Dewan Perwakilan.

Siasatan pemecatan itu berkisar kepada tindakan Trump yang berulang kali meminta Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky membuka kertas siasatan terhadap calon Parti Demokrat Joe Biden dan anak lelakinya, Hunter serta dakwaan bahawa Ukraine adalah negara yang campur tangan dalam pilihan raya presiden AS pada 2016, bukannya Rusia.

Turut menjadi isu ialah penangguhan bantuan ketenteraan sebanyak AS$400 juta kepada Ukraine di peringkat kongres dan sama ada Trump telah memberi syarat untuk meluluskan bantuan itu serta kemungkinan terdapat mesyuarat Pejabat Oval dengan Zelensky berhubung tindakan presiden Ukraine itu yang mengumumkan siasatan tersebut (terhadap Biden dan anaknya) secara terbuka.

Trump telah berulang kali menyelar siasatan pemecatan itu sebagai satu “pemburuan ahli sihir” dan menafikan sebarang salah laku serta mengarahkan pegawai atasannya agar tidak melibatkan diri dalam prosiding tersebut.

Tinggalkan komen anda