Kelas menengah cenderung sokong Pakatan, kata badan penyelidik


shadow

GOLONGAN berpendapatan sederhana dan tinggi didapati lebih cenderung menyokong Pakatan Harapan (PH), manakala golongan berpendapatan rendah pula kepada Umno-PAS, menurut kaji selidik dilakukan badan pemikir Emir Research.

Lebih separuh daripada mereka yang berpendapatan RM3,001-RM5,000 (51%) dan melebihi RM5,000 (52%) menyokong PH, manakala hanya 40% (pendapatan kurang daripada RM3,000) memilih gabungan pemerintah.

Mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000, 45% memilih Umno-PAS.

Populariti Umno dan PAS lebih rendah di kalangan kumpulan berpendapatan tinggi, iaitu 31% bagi golongan berpendapatan antara RM3,001 hingg RM5,000 dan 36% di kalangan mereka yang memperoleh pendapatan RM5,000 dan ke atas, dedah Emir Research dalam laporannya, “Dari Akar Umbi: Suara dan Harapan Rakyat berkenaan Isu Sosioekonomi Bahagian 2”, yang dikeluarkan hari ini.

RM3,000 adalah pendapatan bulanan median untuk B40 (isi rumah bawah 40%) mengikut data 2016.

Amaun itu juga memenuhi syarat untuk menerima Bantuan Sara Hidup kerajaan atau dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ketika ia di bawah kerajaan terdahulu.

Tinjauan Emir Research melibatkan 1,992 pengundi di 222 kawasan Parlimen dengan margin kesilapan dianggarkan sekitar 3%. Tinjauan ini dijalankan dari 5 September hingga 10 Oktober.

Kaji selidik juga mendapati PH terus popular di kalangan orang Cina (64%) dan India (52%) berbanding orang Melayu (33%).

Sebaliknya, pakatan Umno-PAS menarik lebih banyak sokongan Melayu pada 53% berbanding 12% daripada kaum Cina dan 24% kaum India.

“Ini bermakna PH mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan untuk menutup jurang dengan Muafakat Nasional berhubung sokongan Melayu,” kata Emir Research, merujuk kepada pakatan antara Umno dan PAS.

Pembahagian antara bandar dan luar bandar juga jelas kerana 48% penduduk bandar memilih PH manakala hanya 32% memilih Umno-PAS.

Tinggalkan komen anda