Kes tabik Nazi UMS, Syed Saddiq luah kekesalan kepada duta Jerman


shadow

MENTERI Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini meluahkan kekesalan dengan kejadian seorang graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang memberikan tabik Nazi, berkata ia memberi gambaran buruk tentang masyarakat Malaysia.

“Pertama-tamanya, saya ingin meluahkan kekesalan mendalam tentang kejadian yang berlaku di Konvokesyen UMS baru-baru ini apabila seorang graduan memberikan tabik Nazi,” katanya dalam sepucuk surat dikirimkan kepada Duta Jerman ke Malaysia Nikolaus Graf Lambsdorff.

“Saya juga difahamkan yang pihak UMS juga mengecam tindakan itu,” katanya.

Syed Saddiq menambah, walaupun beliau adalah penyokong kuat hak kebebasan bersuara dan menggalakkan beliau untuk mengamalkannya, tetapi kejadian itu tidak boleh diterima kerana ia memberi gambaran buruk tentang Malaysia. 

“Enam juta orang Yahudi dibunuh ketika Holocaust dan jangan lupa juga nyawa orang bukan Yahudi yang turut terkorban,” katanya.

Tindakan mengangkat seorang individu yang melakukan pembersihan etnik dan genosid antara yang terburuk dalam sejarah kemanusiaan juga bukanlah perkara main-main, katanya lagi, merujuk kepada kezaliman dibuat Adolf Hitler.

Katanya, dogma yang bangsa Aryan adalah bangsa unggul sangat bertentangan dengan budaya pelbagai kaum dan agama diamalkan Malaysia.

Tambahnya, Islam juga melarang tindakan ganas dan zalim kepada makhluk lain.

Bulan lepas, gambar seorang graduan UMS memberikan tabik Nazi di pentas konvokesyen tular di media sosial. Tindakan itu mendapat kecaman hebat dan Kedutaan Jerman di Malaysia mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam kejadian itu.

Tinggalkan komen anda