Koperal polis didenda RM5,000 kerana rasuah


shadow

SEORANG anggota polis berpangkat koperal didenda RM5,000 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di Seremban, hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM3,000 daripada seorang lelaki yang dikatakan bersubahat dalam kes mencuri kambing pada September tahun lepas.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahrul Sufian Mohd Jaini, 33, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima wang tunai RM3,000 daripada lelaki berkenaan di sebuah restoran di Pekan Gemencheh Baru, Tampin pada pukul 12 tengah hari hingga 1 petang, 10 September tahun lepas.

Shahrul Sufian dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia membayar denda tersebut.

Menurut fakta kes, tertuduh telah menghubungi pengadu meminta wang rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang dikatakan bersubahat bersama dua rakan dalam kes mencuri kambing.

Ketika rayuan, Shahrul Sufian yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman denda yang rendah.

“Saya mohon hukuman denda yang rendah memandangkan saya perlu menanggung ayah saya yang sakit kanser tahap tiga, emak sakit kencing manis, selain isteri tidak berkerja dan dua anak yang akan memulakan sesi persekolahan tahun depan.

“Saya insaf dan menyesal dengan perbuatan ini,” katanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Zainab Yahaya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Tinggalkan komen anda