Langgar tradisi jika lantik semula Najib jadi Pengerusi BN – Penganalisis


shadow

KUALA LUMPUR: Sebarang usaha untuk menjadikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) semula hanya melanggar tradisi parti yang sudah lama diamalkan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ia sekali gus menyebabkan akar umbi akan mentafsirkan situasi itu dengan pelbagai spekulasi.

“Dalam konteks lanskap politik kompleks mencabar hari ini, adalah elok jawatan Pengerusi BN itu diberi kepada Presiden UMNO itu sendiri iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Ini kerana ia merupakan tradisi dalam BN, presiden parti yang majoriti memegang kerusi dalam BN akan dilantik menjadi pengerusi.”Apabila lantik orang yang bukan memegang jawatan presiden parti untuk dilantik Pengerusi BN, ia akan menimbulkan persoalan contohnya, adakah Najib ingin menjadi Perdana Menteri, adakah Najib hendak menjadi Presiden UMNO?” soalnya semasa dihubungi di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, ada gerakan untuk menjadikan Najib kembali sebagai Pengerusi BN.

Kempen itu yang dikatakan digerakkan beberapa pemimpin sayap UMNO yang diputuskan semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Selain itu, ada juga portal yang melaporkan desas-desus wujudnya usaha melibatkan sebilangan besar ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi UMNO untuk menyingkirkan Ahmad Zahid dari jawatan presiden parti dan pengerusi BN.

Pada masa ini Najib merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat BN dan Ahmad Zahid merupakan Pengerusi BN.

Dalam pada itu kata Dr Awang Azman, situasi itu bukan budaya sihat dalam parti jika benar ia berlaku.

“Dalam konteks sekarang, UMNO dalam pembersihan dalaman dan sedang mengukuhkan kekuatan dalaman parti.

“Jika benar ia berlaku dan dirancang, ia budaya tidak sihat. UMNO dalam momentum yang mula bergerak dari akar umbi ke atas, bukan pemimpin atas cuba tawar menawar politik dan menguasai akar umbi.

“Jika ini berlaku, UMNO akan menjadi seperti asal,” tegasnya.

Tambahnya, satu pembersihan serta transformasi kepimpinan perlu dilakukan untuk menguatkan UMNO.

Tegasnya, pembersihan itu bukan sahaja di peringkat cawangan, malah ketua bahagian, majlis tertinggi serta Ahmad Zahid sendiri jika benar dikatakan sudah menjadi liabiliti kepada parti.

“Pembersihan perlu dibuat jika akar umbi merasakan bahawa pemimpin jadi liabiliti kepada rakyat, kepada kebangkitan, kepada pemulihan.

“Pemimpin itu sendiri mesti sedar diri terhadap kedudukan mereka, jangan terlalu yakin oleh pengikut terdekat yang mengatakan mereka bukan liabiliti kepada parti.

“Sepatutnya mereka kena ada naluri, gerak diri dan muhasabah tentang mereka sebagai pemimpin tertinggi, sama ada jadi liabiliti kepada parti atau sebaliknya.

“Dalam tradisi UMNO, budaya santun mereka untuk menyampaikan sesuatu dalam cara terbuka itu tidak mungkin,” jelasnya.

Katanya, paling penting perlu ada budaya terus terang selain pemimpin bermasalah segera tahu untuk berundur dan bukan menjadikan gerakan dilakukan untuk kekalkan pengaruh atau memastikan mereka kembali ke dunia politik.

  • astro Awani

Tinggalkan komen anda