LANGSUNG: Najib senaraikan perbelanjaan dari akaun peribadi AmBank


shadow

BEKAS perdana menteri Najib Razak akan meneruskan membaca pernyataan saksi hari ini, pada perbicaran kes SRC International Sdn Bhd yang masuk hari ketiga.

Najib akan meneruskan membaca penyataan saksi setebal 243 muka surat berkenaan tuduhan menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta yang dihadapinya.

Najib, 66, adalah saksi pembelaan yang pertama.

Rabu lepas, Najib memberitahu mahkamah beliau menerima derma sebanyak AS$800 juta (kira-kira RM2.4 bilion) dari Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud pada hujung 2013.

Najib juga berkata ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang mengaturkan pertemuan dengan Raja Abdullah di Jedaah pada 2010.

Ahli Parlimen Pekan itu memberitahu mahkamah, Raja Abdullah yang meninggal dunia pada 2015 kagum dengan Malaysia yang mengamalkan Islam sederhana. Najib juga percaya derma tersebut disalurkan melalui Tanore Finance Corp, dan beliau diberitahu syarikat itu ada kaitan dengan Raja Abdullah.

Najib menggambarkan Low mempunyai pengaruh dan hubungan baik dengan keluarga diraja Arab Saudi serta pemaju di negara itu dan Emiriah Arab Bersatu. Low juga tiada masalah mengaturkan pertemuan dan rundingan dengan mereka, tambah Najib.

Pertuduhan dalam perbicaraan SRC International yang dihadapi Najib dikaitkan dengan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada entiti itu pada 2011 dan 2012, yang mana Najib didakwa menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.

Tarikh perbicaraan di peringkat pembelaan dijadualkan sehingga 19 Disember. Peguam bela masih belum menentukan berapa ramai saksi yang akan dipanggil.

Pasukan peguam Najib diketuai oleh Muhamamd Shafee Abdullah. Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan dan perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali. 

Najib Razak akan meneruskan membaca penyataan saksi setebal 243 muka surat berkenaan tuduhan menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta yang dihadapinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2019.
Najib Razak akan meneruskan membaca penyataan saksi setebal 243 muka surat berkenaan tuduhan menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta yang dihadapinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2019.

The Malaysian Insight membawakan secara langsung perbicaraan hari ini:

3.04pm: Pada 9 Ogos, 2014, Low menghantar mesej berikut kepada Yu: “From M- Great holiday here. All went well. Need u to speak to Cheah to clear Ambank Visa for 1.2M Euro for u know what purchase .Can u do it”

Pada 11 Ogos, tahun yang sama, Yu menyatakan bahawa terdapat transaksi dalam Euro dalam kad Datuk Seri yang mana ianya telah ditolak.

Wan Aizuddin bertanya sekiranya Najib menghantar mesej kepada Low.

Najib: Tidak saya tidak pernah. Sebagaimana dinyatakan di atas pada 8 Ogos, 2014 saya ada dikenakan €763,500.00 pada kad di De Grisigono di Itali. Saya tidak ingat mana-mana transaksi yang ditolak pada hari tersebut. Tiada apa-apa transaksi lanjutan yang saya kenakan pada kad selepas 8 Ogos, 2014. Saya percaya penyata akaun kad kredit akan menunjukkan ini.

Pada 13 Ogos, 2014 Jho Low mengirim mesej kepada Yu seperti berikut: “Please ensure it works in full today. He is planning to sign euro in italy
today. Now 7 am here.”

Najib ditanya sama ada beliau gunakan kad kredit pada 13 Ogos, 2014, beliau menafikannya.

2.53pm: Wan Aizuddin: Ung Su Ling menjelaskan bahawa beliau telah diarahkan oleh Datuk Azlin untuk IPSB melakukan transaksi ke dalam akaun Datuk Seri pada Disember 2014 dan Februari 2015. Apakah yang Datuk Seri ingin katakan berkenaan hal ini?

Najib: Saya percaya bahawa Ung Su Ling tidak memberitahu perkara yang sebenar. Ung Su Ling adalah sekutu Jho Low dan melaksanakan arahan daripada Jho Low. Ung Su Ling tidak mempunyai apa-apa untuk menyokong dakwaan beliau bahawa Datuk Azlin sudah pasti terlibat dalam transaksi ini.

Tambah Najib, beliau tidak pernah bercakap dengan Jho Low mengenai akaun bank, cek atau perbelanjaan kad kreditnya.

2.48pm: Ditanya sekiranya beliau percayakan Azlin, Najib berkata Azlin ialah seorang yang berintegriti dan terhormat dalam semua perkara. Beliau berkata Azlin ditipu oleh Jho Low dan Nik Faisal.

2.45pm: Wan Aizuddin bertanya Najib: Agak jelas transkrip perbualan BBM (BlackBerry Messenger) menunjukkan Jho Low sebenarnya individu utama mengarahkan Joanna Yu berkenaan dengan perkara berkaitan akaun Datuk Seri. Adakah Datuk Seri membenarkan Jho Low melakukan sedemikian?

Najib menjawab: Tidak. Kenapa perlu saya? Saya sudahpun bersetuju dengan Nik Faisal untuk bertindak selaku individu yang diberikuasa atas saranan Datuk Azlin. Saya terkejut bagaimana bank memilih untuk berurusan dengan Jho Low pula. Saya tidak mempunyai apa-apa pengetahuan berkenaan dengan komunikasi di antara Jho Low dan bank pada ketika itu.

2.39pm: Perbicaraan bersambung. Najib mengambil tempat menyambung baca keterangan.

1.12pm: Mahkamah berhenti rehat.

1.11pm: Wan Aizuddin: Bagaimana Datuk Seri tahu tiada lagi sumbangan akan masuk?

Najib: Raja Abdullah meninggal dunia pada 23 Januari 2015, dan memandangkan aturan berkenaan dengan derma telah dilakukan secara peribadi di antara Raja Abdullah dan saya, saya kira ia akan mejadi pengakhiran di situ.

1.10pm: Najib berkata pada Mac 2015 Azlin memberitahunya yang sumbangan dan dana dalam akaun baharu hampir habis. Menjangkakan tiada lagi sumbangan diterima, Najib mengambil keputusan menutup akaun berakhir dengan nombor 880, 898 dan 906.

1.06pm: Wan Aizuddin: Bagaimana dengan dakwaan bahawa perbelanjaan melebihi RM95 juta kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno secara peribadinya menguntungkan Datuk Seri memandangkan ia memastikan kelangsungan karier politik Datuk Seri untuk mendapat sokongan daripada ahli politik BN dan Umno?

Najib: Menjadi tugas setiap presiden Umno dan pengerusi BN untuk mendapatkan dana bagi keperluan parti. Secara keseluruhannya, setiap pengagihannya adalah berdasarkan keperluan mereka. Dalam erti kata lain, mereka akan datang pada saya menyatakan bahawa mereka memerlukan wang bagi program politik dan aktiviti-aktiviti.

1pm: Najib berkata dana yang digunakan daripada cek yang dikeluarkan dari akaun 906 dan 808 antara Ogos 2013 dan Mac 2015 adalah untuk:

  • Cek kepada parti politik: RM95,090,000.
  • Cek untuk kegunaan politik dan sosial CSR: RM81,763,260.
  • Cek untuk kebajikan/NGO: RM29,629,694.
  • Cek untuk membaiki dan menaiktaraf Langgak Duta dan Sri Kayangan: RM233,800.
  • Transaksi kredit kad auto debit: RM748,583.62.
  • Perbelanjaan kad kredit bagi pemberian kepada pemimpin asing (De Grisigano): RM3,282,734.16.

Najib: Saya dengan rendah diri menyatakan saya tidak menggunakan dana ini untuk kepentingan peribadi atau kekayaan peribadi.

12.52pm: Dua transaksi ketara yang dibangkitkan pada perbicaraan ini:

  • AS$130,625.00 (RM466,330.11) yang dikenakan di Chanel di Honolulu pada 22 Disember 2014.
  • RM127,017.46 yang dikenakan di Shangri-La Hotel di Bangkok pada Januari 2015.
  • Najib berkata caj yang dikenakan di Chanel adalah untuk pembelian seutas jam tangan untuk isterinya pada Disember.
  • Mengenai caj di Shangri-La Hotel di Bangkok pula, ia bagi lawatan peribadinya selepas beliau melawat Kota Bharu untuk memeriksa keadaan banjir di sana.

Walaupun lawatan ke Bangkok adalah lawatan peribadi,  Najib mengambil kesempatan bertemu dengan rakan sejawatnya, Prayut Chan-o-Cha untuk membincangkan bagaimana kerajaan Thailand dapat membantu Malaysia menghadapi banjir.

Pembayaran RM 120,000 di Hotel Shangri-La di Bangkok meliputi penginapan Najib dan kakitangan sokongannya yang menyertai perjalanan tersebut.

12.38pm: Najib berkata beliau tidak pernah menggunakan dana awam untuk membeli hadiah tersebut.

12.35pm: Wan Aizuddin: Penyata kad kredit menunjukkan RM3,282,734.16 (EU763,500.00) dikenakan di sebuah kedai tukang emas terkenal di Itali iaitu De Grisogono di Sardinia, Itali pada 8 Ogos 2014. Boleh Datuk Seri terangkan tujuan pembelian ini?

Najib: Saya berada di Sardinia, Itali untuk percutian peribadi bersama keluarga. Sewaktu berada di sana saya terjumpa Sheikh Ahmed bin Jassim Al-Thani, ahli perniagaan Qatar, ahli politik dan ahli kerabat diraja, Al-Thani.

Sheikh Ahmad pada masa itu merupakan perdana menteri Qatar. Ianya adalah suatu kebetulan semasa percutian kami dan kami merancang untuk bertemu di Sardinia.

De Grisigono merupakan gudang pakar barang kemas mewah dan jam tangan di Itali. Pembelian yang dilakukan oleh saya di sana pada Ogos 2014 adalah berkaitan dengan barang kemas yang telah dibeli sebagai hadiah kepada isteri Sheikh Ahmad.

12.25pm: Najib berkata beliau tidak pernah menyalah guna kedudukannya sebagai penjawat awam berkenaan dengan peruntukan dua Jaminan Kerajaan.

Menurut Najib tindakan yang diambil berkaitan dua Jaminan Kerajaan itu demi kepentingan kerajaan Malaysia dan Kementerian Kewangan. 

12.20pm: Wan Aizuddin: Berkenaan Pertuduhan Pecah amanah pertama dan kedua  terhadap Datuk Seri melibatkan dana SRC International yang merupakan sebahagian daripada rangkaian tindakan yang mana Datuk Seri dikatakan telah menyalahguna dana SRC. Apa yang Datuk Seri ingin katakan mengenainya?

Najib: Mengambil perhatian perkara di atas, saya dengan rendah diri menyatakan bahawa saya tidak mempunyai pengetahuan atau penglibatan di dalam transaksi atau keadaan yang menyebabkan dana SRC disalurkan ke dalam akaun saya dan kemudiannya dimasukkan ke dalam PBSB dan PPC.

Saya memohon agar Mahkamah yang Mulia ini dapat melihat keterangan secara menyeluruh termasuklah keterangan saya di sini yang menunjukkan saya tidak bersalah.

Selain daripada itu, tiada keterangan dokumentari atau apa-apa juga keterangan daripada saksi-saksi yang mana menunjukkan pemindahan daripada SRC telah dilakukan atas arahan saya.

12.07pm: Mahkamah mendengar tentang surat arahan yang dihantar kepada Joanna Yu pada 24 Disember 2014 yang mengarahkannya melakukan transaksi seterusnya pada 29 Disember 2014.

Najib menafikan ada menghantar sebarang surat berbentuk arahan kerana ketika itu beliau berada di Honolulu, dalam lawatan peribadi bersama keluarga.

Najib juga berkata ketika itu beliau bermain golf bersama presiden AS ketika itu, Barack Obama dan dilaporkan dengan meluas di media.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau berangkat pulang selepas dimaklumkan mengenai banjir di Pantai Timur.

“Oleh itu, saya sememangnya tidak pernah melihat atau menandatangani dokumen yang dikatakan dihantar pada 24 Disember 2014.”

11.43am: Berkenaan pemindahan dana dari SRC International ke akaun Najib pada Disember 2014, Najib berkata beliau tidak tahu-menahu atau terlibat dalam mana-mana transaksi.

Najib: Saya tidak mempunyai apa-apa pengetahuan berkenaan dengan pemindahan dana daripada SRC ke IPSB dan seterusnya ke dalam akaun saya daripada IPSB. Saya hanya mendapat tahu butiran transaksi-transaksi ini sekitar Julai 2015 apabila hal tersebut telah dipublisitikan secara sensasi oleh Sarawak Report.

11.31am: Najib berkata beliau tidak tahu mengenai transaksi tersebut secara terperinci. Beliau menegaskan Azlin memberitahunya yang ia adalah derma dari Raja Abdullah.

Menurut Najib beliau ditunjukkan sepucuk surat bertarikh 1 Jun 2014 sebagai bukti derma.

11.03am: Najib ditunjukkan dokumen pemindahan mata wang asing dari Vista Equity International Partners Ltd, Seychelles dan Blackrock Commodities Pty Ltd, Singapura berjumlah RM45 juta ke akaun “880” pada 2014. Dokumen menyatakan transaksi adalah atas arahan Low.

10.50am: Najib berkata tiada siapa memaklumkannya termasuk bank dan BNM mengenai amaran (red flag) Amla.

10.48am: Wan Aizuddin: Sebagai sebahagian daripada usaha untuk seragamkan akaun-akaun ini, bukti keterangan menunjukkan Jho Low menyebabkan lebih RM12 juta dipindahkan ke akaun baharu secara berperingkat dengan bantuan Joanna Yu. Ia berterusan walaupun Yu memberi amaran kepada Low mengenai keadaan overdrawn akaun dan jumlah wang tunai yang dimasukkan banyak, bank telah mengeluarkan amaran (red flag) Amla. Datuk Seri sedar tentang ini?

Najib: Tidak. Tidak sama sekali. Saya tidak akan membiarkan perkara ini terjadi. Saya pada masa tersebut merupakan perdana menteri dan juga merupakan orang politik yang dikenali di dalam negara. Sekiranya berita terbongkar bahawa akaun-akaun bank yang didaftarkan di atas nama saya telah diberikan amaran oleh BNM disebabkan kemasukan tunai sebanyak RM12 Juta, ia semestinya akan digunakan oleh pihak pembangkang sebagai usaha untuk merosakkan reputasi saya. 

Ini secara tidak langsung akan menjadi tuduhan rasuah memandangkan ia melibatkan sejumlah wang tunai yang besar. Saya tidak akan membiarkan akaun peribadi saya berdepan dengan risiko amaran Amla oleh BNM. 

10.39am: Peguam bela beritahu Najib mahkamah mendengar dan melihat keterangan yang menunjukkan Joanna Yu akan melaporkan kepada Low setiap kali berlaku overdrawn. Low kemudian akan segera memasukkan dana untuk memastikan akaun terus beroperasi.

Wan Aizuddin: Jho Low juga mengambil beberapa langkah untuk memastikan bank tidak menolak mana-mana cek. Jho Low nampaknya menyebabkan Nik Faisal menandatangani beberapa surat kepada bank supaya diberi sedikit masa untuk masukkan dana. Datuk Seri sedar perkara ini?

Najib: Tidak sama sekali. Saya hanya mendapat tahu apabila keterangan ditunjukkan kepada mahkamah. Saya terkejut. 

Saya tidak pernah beri kebenaran kepada Datuk Azlin, Nik Faisal atau Jho Low untuk ambil tindakan sedemikian. Saya tidak pernah dimaklumkan yang akaun saya dalam keadaan overdrawn

10.27am: Najib berkata beliau tidak pernah lihat penyata bagi ketiga-tiga akaun tersebut ketika itu. Beliau percaya ia disimpan oleh Azlin

Najib berkata beliau hanya mengetahui mengenainya baru-baru ini (semasa perbicaraan) bahawa Low telah mengambil langkah untuk memastikan penyata bank tidak diserahkan kepadanya dan disimpan oleh Joanna Yu.

10.24am: Wan Aizuddin: Pada 27 Ogos 2013, Jho Low maklumkan kepada Joanna Yu yang anda mula menggunakan buku cek bagi akaun baharu. Cek bernombor 00151 bertarikh 24 Ogos 2013 dengan jumlah RM5 juta kepada Yayasan Permata Malaysia yang dikeluarkan dari akaun 898, dan cek bernombor 0052 bertarikh 26 Ogos 2013 dengan jumlah RM268,000 kepada Jakel Trading.

Bagaimana Jho Low boleh tahu Datuk Seri mula gunakan buku cek dari akaun baharu?

Najib: Saya tak pasti. Saya tidak menghubungi dengan Jho Low tentang cek yang saya keluarkan dari akaun baharu. Saya hanya beritahu Datuk Azlin Alias, yang mungkin kemudiannya beritahu Nik Faisal.

Saya hanya boleh andaikan yang Jho Low berhubung dengan salah seorang antara mereka.

Apa pun, saya tidak pernah benarkan mereka dedahkan maklumat perbankan saya kepada Jho Low.

10.09am: Najib berkata Azlin memberinya sekurang-kurangnya 10 buku cek bagi akaun yang baru dibuka.

Wan Aizuddin: Tiga akaun baharu dibuka tetapi anda terima buku cek untuk hanya untuk dua akaun. Mengapa?

Najib: Semasa Datuk Azlin beri saya buku cek, beliau beritahu ia untuk akaun baharu yang saya baru buka. Pada masa itu, saya tak tahu buku cek yang diberi untuk satu akaun. Sekali lagi, saya tegaskan bahawa saya serahkan kepada Datuk Azlin, orang kepercayaan saya, untuk menguruskan akaun-akaun saya.

10.07am: Najib disoal mengenai sumber dana bagi YR1M, yang menurut bekas perdana menteri itu beliau tidak tahu kerana ia diuruskan oleh Lembaga Pemegang Amanahnya sendiri.

10.05am: Peguam bela menyoal Najib mengenai penyataan saksinya berkenaan akaun baharu yang dibuka kerana beliau menjangkakan menerima lagi sumbangan untuk program CSR.

Wan Aizuddin: Apa yang Datuk Seri faham tentang sumber dana yang dipindah masuk ke dalam akaun baharu?

Najib: Semasa akaun baharu dibuka, saya percaya dana dalam akaun baharu itu adalah derma dalam Akaun 694. Atas asas kepercayaan ini, saya terus gunakan dana ini terutamanya untuk tujuan politik, sosial dan kebajikan.

Datuk Azlin juga beritahu saya tentang sumbangan untuk tujuan CSR melalui Yayasan Rakyat 1 Malaysian (YR1M).

Sekitar 2014, Datuk Azlin maklumkan kepada saya yang ada lagi sumbangan dari Raja Abdullah.

9.55am: Najib berkata beliau tahu baki dalam akaun lamanya yang berakhir dengan “694” dipindahkan ke akaun baru.

Pindahan dibuat selepas dana Tanore dipulangkan, katanya.

9.46am: Najib berkata Azlin memaklumkan yang Nik Faisal diberi kebenaran untuk kendali akaun bank bekas perdana menteri itu.

9.39am: Wan Aizuddin beritahu Najib bahawa Joanna Yu ketika memberi keterangan berkata beliau (Yu) memaklumkan Jho Low tentang tujuan pembukaan tiga akaun tersebut.

Wan Aizuddin: Datuk Seri ada bercakap dengan Jho Low untuk buka tiga akaun ini?

Najib: Tidak sama sekali. Sekali lagi, saya terkejut mengapa bank berurusan dengan Jho Low sedangkan dia tidak pernah diberi kuasa untuk urus akaun bank saya.

Wan Aizuddin:  Tahu Joanna Yu, Daniel Lee dan Krystal Yap dilantik semula sebagai pengurus perhubungan untuk akaun 880, 906 dan 898?

Najib: Tidak. Saya tak pernah berurusan dengan tiga individu ini dan tak pernah dimaklumkan bahawa mereka menguruskan akaun-akaun saya.

9.36am: Najib berkata beliau tandatangani borang untuk membuka akaun bank. Borang diberi oleh Azlin, kata Najib.

Tiga akaun itu berakhir dengan nombor 880, 906 dan 898.

Kata Najib, beliau turunkan tandatangan sekitar Julai 2013.

9.35am: Wan Aizuddin bertanya kepada Najib mengapa tiga akaun baharu dibuka, bukan satu.

Najib: Saya dimaklumkan ada beberapa pihak dijangka akan beri sumbangan kepada saya secara peribadi, atas sumbangan saya dalam politik, sosial dan program CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) bagi tujuan kebajikan sejak 2011 hingga 2013. Jadi, Datuk Azlin sarankan saya buka satu akaun baru untuk uruskan sumbangan dengan lebih baik.

9.31am: Wan Aizuddin meminta Najib jelaskan mengapa akaun berakhir dengan “694” ditutup.

Najib: Kerana saya mahu sejumlah besar duit yang tidak digunakan dipulang semula kepada penderma. Saya berbincang dengan Datuk Azlin dan kami ambil keputusan untuk tutup akaun “694”.

9.26am: Mahkamah mula bersidang. Najib duduk di kandang saksi. 

Tinggalkan komen anda