Lebih separuh kawasan terjejas pulih bekalan, kata Air Selangor


shadow

LEBIH separuh pengguna yang terjejas bekalan air di Selangor sejak Sabtu lalu sudah mula menerima bekalan air yang disambung semula tengah hari ini, kata Pengurusan Air Selangor Bhd.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, 56.9% kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Sepang, dan Putrajaya sudah menerima bekalan air, kata pegawai komunikasinya Abdul Halem Mat Som.

Proses pemulihan bekalan itu sedang berjalan secara berperingkat-peringkat, bergantung pada kedudukan premis pengguna, katanya.

“Kawasan yang berhampiran dengan sistem agihan dijangka menerima bekalan lebih awal dan begitu juga sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Air Selangor juga memaklumkan kawasan yang masih terjejas akan terus menerima bantuan bekalan air yang dipergiatkan.

Air Selangor menggerakkan 72 lori tangki air, 21 lori tangki jumbo, serta mengaktifkan 10 pusat khidmat setempat yang beroperasi sepanjang siang dan malam.

Ia juga menambah 46 tangki statik di kawasan terlibat.

Bekalan air kepada 1.5 juta pengguna di Selangor terjejas sejak Sabtu lalu selepas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dihentikan operasi susulan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Pencemaran itu dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa buangan haram di lurang pembentungan milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd.

Kerajaan Selangor berikrar akan bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat, yang sedang dikenal pasti.

Tinggalkan komen anda