Mahkamah benar ekstradisi warga Korea Utara ke AS


shadow

SEORANG warga Korea Utara berkemungkinan berdepan tuduhan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat (AS) selepas mahkamah Malaysia meluluskan permohonan ekstradisinya pada Jumaat, dalam kes yang menurut dakwaan peguamnya bermotifkan politik.

Mun Chol Myong menafikan dakwaan FBI yang beliau mengetuai kumpulan jenayah yang melanggar sekatan dengan membekalkan barangan mewah kepada negara asalnya dan pengubahan wang haram melalui syarikat palsu.

Lelaki berusia 54 tahun, yang tinggal di Malaysia bersama keluarganya selama sedekad, ditangkap pada Mei berikutan permintaan ekstradisi dari Washington.

Peguam bela mendakwa beliau hanya terlibat membekalkan minyak kelapa sawit dan minyak soya kepada Korea Utara.

“Saya sedih dan kecewa dengan tindakan mahkamah,” kata peguamnya Jagjit Singh, yang sebelum ini mengkritik permohonan ekstradisi sebagai “semata-mata berdasarkan politik”.

Jagjit berkata anak guamnya tidak akan dihantar sebelum rayuan akhir, kemungkinan akan didengar awal tahun depan.

Mun berada dalam tahanan sejak ditangkap.

Beliau berdepan empat pertuduhan pengubahan wang haram dan dua konspirasi berkaitan perkara yang sama, terutama berhubung kerjayanya dengan syarikat di negara jiran Singapura.

Tinggalkan komen anda