Pematuhan larangan merokok restoran di bandar lebih baik berbanding luar bandar


shadow

KUALA LUMPUR: Pematuhan larangan merokok di premis makanan di kawasan bandar adalah lebih tinggi berbanding di luar bandar, ujar Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Bagaimanapun kementeriannya akan tetap meneruskan usaha melakukan tindakan melalui pendidikan sehingga larangan merokok dikuatkuasakan 1 Januari depan.  

“Kalau lihat restoran di pusat bandar, saya rasa pematuhan agak tinggi. Cuma ada yang 24 jam itu mungkin selepas tengah malam ia longgar. Mereka anggap tidak ada penguatkuasaan pada tengah malam.

“Di kampung-kampung pun penguatkuasaan (larangan merokok) pun agak kurang. Kita faham. Namun menjelang 1 Januari penguatkuasaan akan ditingkatkan supaya perkara ini boleh dikawal,” katanya dalam sidang media selepas Pelancaran Persidangan “Be A Heart Hero” di Bangunan Yayasan Jantung Malaysia di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun, ketika ini tiada saman dikeluarkan ke atas mana-mana premis dalam tempoh penguatkuasaan pendidikan yang akan dilaksanakan sehingga akhir bulan ini.

“Jadi sepanjang setahun ini apa yang kita buat ini adalah sebagai educational enforcement. Lebih menekankan pendidikan dari saman.

“Tempat makan tidak berhawa dingin tidak ada satu saman dikeluarkan sehingga ke hari ini. Namun penguatkuasaan akan berterusan,” ujar beliau.

Larangan merokok di semua restoran dan premis makanan akan dikuatkuasakan serta merta pada 1 Januari 2020.

Sementara tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan bagi pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok akan dilanjutkan sehingga akhir Disember tahun ini.

  • astro Awani

Tinggalkan komen anda