Pembinaan ERCL di Pahang mula awal 2020


shadow

KERJA pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan bersambung semula di di Pahang sejurus selepas subkontrak untuk pembinaan itu dianugerahkan pada suku pertama tahun ini, lapor akhbar The Edge Financial Daily.

Dalam satu taklimat media, Pengurus Perhubungan Masyarat dan Pihak berkuasa China Communications Construction Sdn Bhd, Satnam Singh berkata, kerja pembinaan akan bermula di seksyennya dan kebanyakannya di Pahang.

Seksyen 6 sepanjang 140 kilometer mempunyai empat stesen, 21 terowong dan 37 jambatan. Jarak keseluruhan terowong adalah 9.55 kilometer dan 26.4 kilometer bagi jambatan.

“Ia akan menjadi tempoh kritikal untuk bermula seawal suku pertama tahun depan apabila aktiviti pembinaan meningkat,” kata Satnam.

Sementara itu pengurus pentadbiran sumber manusia CCC-ECRL seksyen 6 Cheah Chee Yuan berkata, syarikat kini sedang membina laluan ke tapak pembinaan untuk persiapan bagi kerja-kerja awal bagi memenuhi peningkatan tenaga kerja.

“Kerja pembinaan sebenar disasarkan bermula pada suku pertama tahun depan. Jadi, subkontrak mungkin akan dianugerahkan sebelum itu,” katanya kepada akhbar berkenaan.

Cheah berkata jumlah tenaga kerja akan meningkat sehingga 1,400 orang berbanding 700 orang ketika ini, termasuk pekerja subkontrak.

Tambahnya, pengambilan pekerja turut diadakan selama empat hari di East Coast Mall di Kuantan, dan 7,000 permohonan secara dalam talian diterima setakat ini.

“Buat masa ini, kita memfokuskan kepada bahagian awam, jadi kita memerlukan jurutera awam, terutama mereka yang pernah bekerja di sektor pembinaan, dalam kerja-kerja pembinaan jambatan dan lebuh raya.”

Akhbar itu melaporkan, terowong antara Dungun, Terengganu dan Mentakab di Pahang kini siap 3.5% atau 100 meter.

Sebelum pembinaan ditangguhkan pada 2018, 22 meter telah disiapkan.

Projek ECRL ditangguhkan pada Julai tahun lalu namun disambung semula pada April selepas kosnya dikurangkan sebanyak RM22 bilion kepada RM44 bilion.

Pada April Putrajaya mengumumkan telah menambah baik perjanjian dengan China berhubung ECRL, yang melibatkan perjanjian tambahan antara MRL dan Communications Construction Company Ltd susulan rundingan yang diadakan selama beberapa bulan.

ECRL akan menghubungkan Kota Bharu di Kelantan dan Pelabuhan Klang di Selangor serta termasuk 20 stesen di lima negeri, berbanding empat sebelum ini.

Daripada jumlah itu, 14 adalah stesen penumpang, lima stesen gabungan penumpang dan kargo, dan satu stesen kargo.

Projek berkenaan dijangka siap pada 31 Disember, 2026.

Tinggalkan komen anda