Pinda Akta SPRM jika mahu wajib isytihar harta, kata pembangkang


shadow

KERAJAAN perlu meminda Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mahu mewajibkan ahli Parlimen mengisytiharkan harta, kata Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob.

Ini kerana peraturan tetap yang mewajibkan ahli Parlimen dan anggota keluarga mengisytihar harta itu melangkaui kuasa Parlimen, katanya dalam sidang media di Perhimpunan Agung Umno hari ini.

“Kita setuju kalau SPRM meminda Akta SPRM dan meminta semua ahli Parlimen isytihar harta. Jika tidak ada, kita tidak akan terikat dengan mana-mana peraturan.

“Peraturan Parlimen hanya boleh digunakan Speaker untuk mengendalikan mesyuarat di Parlimen dan perkara-perkara di parlimen, bukan mengikat perkara yang berlaku di luar, termasuk keluarga.

“(Tetapi dengan peraturan tetap Parlimen) ini isteri anak terikat dengan usul tersebut,” katanya kepada petugas media di PWTC hari ini.

Ismail juga mendakwa penguatkuasaan peraturan tetap itu sebagai campurtangan eksekutif dalam cabang legislatif dan bertentangan dengan usaha mengukuhkan Parlimen.

“Parlimen terpaksa tunduk dengan arahan eksekutif untuk memaksa ahli Parlimen, termasuk pembangkang isytihar harta,” katanya lagi.

Walhal pembangkang tidak perlu berbuat demikian kerana pengisytiharan harta itu dibuat untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa, katanya.

“Menteri dan timbalan menteri saya setuju, bagi yang tidak ada kuasa macam pembangkang, kita tidak ada kuasa meluluskan apa pun.

“Jadi kenapa takut penyalahgunaan kuasa untuk pembangkang?” soalnya dalam sidang media.

Dalam sidang media sama, Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula berkata menyifatkan tindakan kerajaan tersebut hanya ingin melunaskan janji pilihan raya.

“Dari segi undang-undang, adakah ini dirasakan menepati undang-undang dan perlembagaan? Tidak. Itu lebih kepada janji manisfesto Pakatan Harapan.

“Yang penting ikhlas. Kalau tidak ikhlas, tidak ada maknanya,” ujarnya.

Hanya dua ahli Parlimen Umno mengistihar aset sehingga tempoh itu berakhir semalam. Seramai 62 Ahli Parlimen pembangkang termasuk dari PAS dan Bebas tidak berbuat demikian.

Usul yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai lalu mewajibkan semua ahli Dewan mengisytiharkan harta masing-masing termasuk milik suami atau isteri, anak dan pemegang amanah.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata Speaker berkuasa untuk mengenakan tindakan ke atas ahli Parlimen yang masih enggan mengisytihar aset.

Katanya, Speaker berkuasa mengheret ahli Dewan ke jawatankuasa hak dan kebebasan, menggantung ahli terbabit dari persidangan atau mengenakan denda. 

Tinggalkan komen anda