Pindaan Akta Pendidikan 1996 sedang diteliti, kata timbalan menteri


shadow

DRAF pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 yang antara lain akan mewajibkan setiap ibu bapa menghantar anak masing-masing mengikuti pelajaran rendah dan menengah, kini dalam proses penelitian Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata ia akan dibentang di Parlimen, setelah siap diteliti.

“Dalam pindaan itu, kita juga ambil kira dari aspek latihan vokasional sebagai opsyen atau pilihan kerana kita faham bukan semua murid ataupun pelajar berminat dari segi akdemik.” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Aknan Ehtook yang ingin tahu apakah dapatan awal kajian yang mewajibkan murid-murid ke sekolah sehingga umur 17 tahun dan adakah kajian itu mengambil kira aspek latihan kemahiran di pelbagai institusi sebagai sebahagian daripada tempoh wajib yang ditetapkan itu.

Kepada soalan tambahan Senator Prof Emeritus Dr Ibrahim Shah Abu Shah yang meminta penjelasan mengenai isu lagu kebangsaan Negaraku yang dinyanyikan dalam bahasa Mandarin oleh pelajar sebuah sekolah baru-baru ini, Teo berkata beliau inginkan penjelasan daripada pihak berkenaan bagaimana isu itu boleh berlaku.

“Saya harap kalau boleh kita dengar mengapa guru itu mengadakan aktiviti itu di dalam bilik darjah. Janganlah kita ada apa-apa sangkaan buruk terhadap mereka.

“Jadi jangan sebab satu video yang pendek kita mempertikaikan bahawa mereka yang ada dalam bilik darjah itu tidak fasih bahasa Melayu atau tidak cintakan negara. Saya rasa itu kurang adil,” katanya.

Tinggalkan komen anda