PKR terus pertahankan Anwar Ibrahim, tolak politik keji – Azmin


shadow

AYER KEROH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus mempertahankan Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim dari serangan politik keji dan jijik, kata timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, pimpinan tertinggi parti telah melihat dan mendengar penjelasan Anwar, berhubung dakwaan Muhammed Yusoff Rawther mengenai kejadian serangan seksual, dan akan terus menolak budaya politik kotor.

“Kita mahu pihak yang tak setuju harus berdepan dengan hujah dan wacana yang sihat, bukan terjemurus dengan amalan fitnah dan keji.

“Saya kira Anwar, telah ambil langkah wajar, termasuk membuat laporan polis dan kita serahkan perkara ini kepada pihak polis untuk lakukan siasatan. Dan siapa yang terlibat dalam budaya ini mesti dihukum, kerana kita mahu sebuah suasana masyarakat yang bersih daripada budaya politik kotor,” katanya kepada sidang media selepas merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan, di sini malam ini.

Muhammed Yusoff dalam akuan bersumpahnya bertarikh 19 November lalu, mendakwa dirinya menjadi mangsa cabul, perbuatan tidak senonoh dan cadangan lucah semasa kejadian yang didakwa dilakukan oleh Anwar pada 2 Oktober 2018 di pejabatnya di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, Anwar dalam satu kenyataan hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut selain membuat laporan polis menerusi Setiausaha Sulitnya, Shukri Saad.

Ditanya sekiranya isu itu akan mengganggu kelancaran perjalanan kongres parti antara 5 hingga 8 Disember ini, Mohamed Azmin berkata, beliau yakin perwakilan akan terus fokus pada dasar perjuangan PKR selaku parti tunjang Pakatan Harapan.

“Kita tumpu pada isu dasar, masa depan negara, masa depan rakyat, kerana rakyat hari ini mengalami kesusahan. Adalah menjadi tanggung jawab kita sebagai sebuah kerajaan bagaimana langkah untuk bantu rakyat yang perlukan bantuan,” katanya lagi.

  • astro Awani


Tinggalkan komen anda