PKR tidak dibangunkan oleh individu, kata Azmin


shadow

PKR tidak dibangunkan semata-mata oleh seorang individu sebaliknya parti itu tumbuh hasil usaha semua ahli, kata Timbalan Presidennya Mohamed Azmin Ali.

“Setiap daripada kita dalam dewan ini mempunyai peranan dalam membangunkan parti ini. PKR tidak dibangunkan oleh seorang individu kerana setiap kita adalah kesatria dan srikandi PKR,” katanya berucap kongres sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita kali ke-14 di Ayer Keroh, Melaka malam tadi.

Dalam ucapannya, Azmin tidak menyentuh sebarang krisis dalaman parti susulan sayap AMK membatalkan jemputan kepadanya untuk merasmikan kongres dan menggantikan dengan Pengerusi Majlis Penasihat parti, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Azmin sebaliknya memilih untuk menyentuh isu dasar dan polisi pentadbiran negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan Kertas Putih Felda.

Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata, PKR juga seharusnya terbuka menerima pelbagai pandangan daripada ahli parti.

“Namun, sudah tentulah sebagai sebuah parti yang rencam dan majmuk, pasti ada kalanya kita akan berhadapan dengan cabaran dan perbezaan pandangan.

“Kita telah membuktikan setiap perbezaan pandangan yang kita hadapi akan dapat dirungkai dan ditangani atas semangat perpaduan, ruhul ukhuwwah dan mutual respect.

“Kita juga mesti mempunyai semangat dan berjiwa besar untuk mendengar pandangan akar umbi. 

“Saya yakin, jika kita berpegang teguh kepada idealisme dan prinsip perjuangan yang luhur, apa juga perbezaan, masalah, mahupun krisis akan dapat diselesaikan,” kata Azmin lagi.

Azmin membuat seruan itu ketika PKR terus terbelit dengan krisis kepimpinan sejak pemilihan parti yang pecah-belah setahun yang lalu. 

Hubungan Azmin dan Presiden PKR Anwar Ibrahim juga ketara renggang dan memuncak beberapa minggu lalu selepas sayap Pemuda PKR pada awalnya tidak mahu timbalan presiden parti merasmikan kongresnya. 

Semalam, Azmin dan kumpulannya hadir ke pertemuan yang disebut sebagai mesyuarat khas biro politik di bangunan Parlimen.

Mesyuarat itu memutuskan Azmin merasmikan serentak kongres kedua-dua sayap Pemuda dan Wanita malam ini.

Azmin dalam ucapannya juga langsung tidak menyebut tentang Anwar serta kepimpinannya dalam parti dan kedudukan sebagai tokoh yang dinamakan pengganti perdana menteri.

Tinggalkan komen anda