Polis dapatkan pandangan MMC berhubung laporan bedah siasat Adib


shadow

Polis mendapatkan bantuan pakar perubatan untuk membantu penyiasatan terhadap kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, kata pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed.

Beliau memberitahu pemberita hari ini bahawa pihak polis telah membuat permohonan kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) bagi mendapatkan pandangan pakar berhubung laporan bedah siasat mangsa.

“Kami mohon MMC bagi (mendapatkan) pandangan mereka berhubung laporan pakar mengenai bedah siasat. Jadi masih menunggu jawapan mereka kalau ada komen mengenainya,” kata Huzir pada sidang akhbar di ibu pejabat polis Selangor di Shah Alam hari ini.

Ditanya mengapa pihak polis merujuk MMC sedangkan mahkamah Koroner Shah Alam telah membincangkan punca kematian Adib, Huzir berkata mereka memerlukan penjelasan pakar memandangkan terdapat perbezaan pandangan berhubung insiden berkenaan.

“Kami mahu mencari pandangan pakar, sama ada terdapat percanggahan atau tidak. Kerana terdapat dua pandangan berbeza.

“Polis tidak mempunyai kepakaran, (jadi) kami meminta pakar,” katanya.

Katanya lagi, polis juga telah menggerakkan Unit Forensiknya untuk melakonkan semula insiden menggunakan mesin pengimbas 3D.

Sehingga kini, pihaknya telah merekodkan kenyataan daripada 31 individu, termasuk pegawai polis yang berada di tempat kejadian, ahli kimia, pakar perubatan dan orang ramai.

Mereka dijangka memanggil lebih ramai saksi untuk membantu siasatan, termasuk pakar yang memberi keterangan dalam inkues kematian Adib.

Huzir berkata pihak polis juga sedang mencari sembilan individu lain, yang dikatakan sebagai saksi semasa kejadian tahun lepas, untuk membantu siasatan.

“Berhubung gambar-gambar yang mana telah kita terbitkan keseluruhannya 21 orang, 9 lagi gambar  akan dipamer. (Polis) minta saksi-saksi ini tampil bantu siasatan kes Adib. Ada orang yang kita percaya bystander, di sekitar kawasan berkenaan.

Adib cedera parah semasa rusuhan berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor pada 26 Nov 2018.

Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis 2018, selepas mengalami kecederaan semasa kejadian.Inkues diarahkan diadakan selepas terdapat dua versi bercanggah mengenai kematian allahyarham.

Satu versi mendakwa Adib dilanggar oleh sebuah kenderaan manakala satu lagi versi mendakwa allahyarham dipukul ketika kejadian.

Mahkamah Koroner Shah Alam mengumumkan penemuannya pada 24 Julai setelah 30 saksi dipanggil semasa sesi pendengaran yang berlangsung selama 41 hari.

Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan pada 27 Sept bahawa Adib meninggal dunia akibat perbuatan jenayah yang dilakukan oleh penyerang yang tidak dikenali semasa rusuhan itu.

Tinggalkan komen anda