Sahruddin sentiasa ikuti perkembangan banjir, kata Pejabat MB Johor


shadow

PEJABAT Menteri Besar Johor hari ini menjelaskan perkembangan terkini keadaan banjir di negeri ini sentiasa dimaklumkan kepada Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal.

Pejabat itu dalam kenyataan hari ini berkata menteri besar juga telah melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) serta melakukan tinjauan udara keadaan banjir di beberapa daerah sebelum melakukan lawatan kerja ke Mesir dan Jordan mulai semalam.

“Pihak Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana sama ada di peringkat negeri mahupun daerah juga telah menyelaras segala keperluan (mangsa banjir)  dan memastikan semua berada dalam keadaan siap siaga serta sentiasa memberikan maklumat terkini secara terus kepada Menteri Besar Johor.

”Beliau (Dr Sahruddin) sentiasa mengikuti rapat situasi banjir di negeri Johor pada ketika ini, malah memantau perkembangan dari masa ke masa,” katanya.

Semalam, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan mengkritik lawatan ke luar negara dibuat oleh menteri besar itu dengan menyifatkannya boleh dijadual semula sekiranya wujud keperluan yang lebih mendesak di peringkat tempatan.

Menurut kenyataan itu, lawatan ke Mesir dan Jordan itu telah dirancang lebih awal sebelum berlakunya bencana alam berkenaan.

Keadaan banjir di Johor hari ini semakin pulih dengan mangsa banjir juga terus berkurangan kepada 1,314 orang daripada 327 keluarga setakat 6 petang ini berbanding 2,669 orang daripada 716 keluarga yang direkodkan pagi tadi. 

Mengulas lanjut tentang lawatan itu,  pejabat berkenaan berkata antara pengisiannya adalah mengadakan pertemuan dengan Rektor Universiti Al-Azhar bagi membincang dan menambah kerjasama pendidikan untuk pelajar lepasan Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) melanjutkan pengajian ke universiti itu.

“Kemuncak kepada lawatan kerja kerajaan negeri ke negara-negara ini adalah majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan universiti-universiti di Jordan dan kerjasama antara MARSAH yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Universiti Al-Azhar telah terjalin sejak 1997.

“Secara tak langsung, menteri besar dapat bertemu dengan Anak Johor yang menuntut di kedua-dua negara berkenaan bagi menyelesaikan beberapa isu termasuk soal kemudahan dan kebajikan pelajar berkenaan,” katanya.

Sahruddin juga turut dijadual mengunjungi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Jordan.

Lawatan itu disertai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor Tosrin Jarvanthi, Penasihat MAINJ Nooh Gadot dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Md Rofiki A Shamsudin.

Tinggalkan komen anda