Saya ada terfikir kebakaran akibat khianat, kata saksi kes Cradle Fund


shadow

PEGAWAI penyiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau ada terfikir kebakaran di bilik tidur Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, berpunca akibat perbuatan khianat.

Abdul Halim Zulkefeli yang juga saksi pendakwaan ke-15 berkata perkara tersebut disedarinya semasa ‘memulangkan semula’ bilik berkenaan kepada isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, 44, selepas selesai melakukan siasatan.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak merekodkan mengenai perkara tersebut pada mana-mana laporan yang dibuat olehnya pada hari kejadian kerana tidak mengetahui siapa pelakunya.

Ketika disoal balas oleh peguam Samirah, Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman, bila beliau ‘memulangkan semula’ bilik berkenaan kepada wanita itu, Abdul Halim memberitahu ia dilakukan pada hari kejadian iaitu 14 Jun 2018 sekitar 4 petang.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee mempersoal tindakan pegawai bomba itu ‘memulangkan semula’ bilik tersebut kepada pemilik rumah sedangkan beliau telah mengesyaki berlakunya jenayah khianat dan bunuh.

Muhammad Shafee : Kalau pada 14 haribulan (Jun 2018), Encik Halim terfikir ini (kebakaran di bilik Nazrin) adalah kes jenayah khianat dan bunuh, mengapa Encik Halim pulangkan balik bilik itu kepada tuan punya (rumah)?

Abdul Halim : Sebab saya sudah jalankan penyiasatan saya mengenai kebakaran. Benda-benda utama saya sudah ambil.

Muhammad Shafee : Encik Halim beritahu Samirah boleh ambil bilik dan kata semua sudah selesai. Kalau beliau mahu bersihkan bilik pun boleh?

Abdul Halim : Untuk part bomba, benar.

Muhammad Shafee : Ada Encik Halim beritahu polis yang wujudnya unsur jenayah? 

Abdul Halim : Saya ada beritahu polis iaitu Sarjan Rahim untuk tindakan selanjutnya.

Muhammad Shafee : Ada polis beritahu jangan serahkan dulu bilik itu kepada tuan punya?

Abdul Halim : Saya tidak dengar. 

Muhammad Shafee : Kalau ada unsur jenayah di bilik (yang terbakar) itu, bukan kuasa Encik Halim untuk serah semula bilik berkenaan dan bilik itu (perlu) diserahkan kepada polis. Masa itu, Encik Halim ada syak Samirah?

Abdul Halim : Tidak

Muhammad Shafee : Namun tiada tanda pecah masuk (di bilik berkenaan). Ada Encik Halim syak wujudnya unsur dalaman?

Abdul Halim : Kemungkinan ada.

Muhammad Shafee : Encik Halim bagi semula bilik kepada Samirah untuk kemas dan kemudian Encik Halim datang semula (selepas hari kejadian) untuk siasat lagi. Boleh saya kata ia sebagai tindakan ‘tidak bijak’?

Abdul Halim : Tidak setuju.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee turut mempersoal tindakan Abdul Halim yang tidak mengambil sampel lantai jenis parket untuk siasatan sedangkan pegawai bomba itu sebelum ini pernah mengatakan terdapat simbahan petrol pada bahagian kepala katil di dalam bilik tersebut.

Ini kerana kata Muhammad Shafee, sekiranya wujud simbahan petrol seperti dinyatakan Abdul Halim, pastinya ada sisa bahan bakar itu di celah-celah lantai bilik yang ia sepatutnya turut termasuk dalam lingkungan siasatan pihak bomba.

Bagaimanapun, Abdul Halim menjelaskan beliau tidak mengambil sampel lantai berkenaan kerana sampel tempat terbakar sudah memadai untuk dijalankan siasatan punca insiden itu berlaku.

Pada 12 Mac lepas, Samirah, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh Nazrin.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Tinggalkan komen anda