‘Saya tak tanda tangan minit mesyuarat itu’ – Najib


shadow

Peguam Negara, Tommy Thomas, akan meneruskan pemeriksaan balas terhadap Najib Razak pada hari ke-63 perbicaraan kes bekas perdana menteri yang dituduh menyelewengkan RM42 juta dana SRC International hari ini.

Hari ini adalah hari kedua Najib yang juga bekas menteri kewangan tertakluk kepada pemeriksaan balas.

‘Saya tak tanda tangan minit mesyuarat 7 September’ – Najib

11.40 pagi – Bekas perdana menteri Najib Razak memberitahu mahkamah beliau tidak menandatangani minit mesyuarat bertarikh 7 September 2011 sebagaimana ditunjukkan keterangan kes (ID) yang ditandakan sebagai ID499.

IDD499 merupakan satu minit mesyuarat pertemuan empat mata antara Najib dan ketua pegawai eksekutif SRC International ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil, pada tarikh tersebut.

Nik Faisal mendakwa menggunakan minit mesyuarat itu untuk memberi taklimat kepada anggota lembaga SRC semasa mesyuarat lembaga pengarah pada 13 Sept 2011, mendakwa kandungan tersebut adalah apa yang telah dibincangkan beliau dengan Najib.

Pihak pendakwaan sebelum ini cuba mengakuinya sebagai barang keterangan kes, tetapi ditolak kerana bantahan daripada pasukan pembelaan. Bagaimanapun, ia kemudiannya diterima sebagai keterangan.

“Saya tidak menandatangani (minit mesyuarat ini),” kata Najib.

Menurut bekas perdana menteri, kebanyakan pertemuannya dengan Nik Faisal tidak diminitkan.


Najib nafi rancang SRC sebagai helah pindah berbilion ringgit

11.27 pagi – Najib Razak menafikan dakwaan Peguam Negara Tommy Thomas bahawa bekas perdana menteri itu merancang helah untuk SRC International mendapatkan berbilion ringgit.

Najib yang juga bekas menteri kewangan berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Thomas.

Thomas: Saya katakan kepada kamu bahawa sejak 24 Ogos 2010 apabila asal usul SRC dibincangkan, sehingga pembayaran kepadanya pada 29 Ogos 2011, bahawa ia (SRC) adalah helah (scheme) yang dirancang (designed) oleh Datuk Seri (Najib)?

Najib: Saya tak setuju dengan perkataan dirancang (designed).

Thomas: Keseluruhan rancangannya (SRC) adalah untuk memastikan SRC mendapat RM2 bilion daripada pembayaran?

Najib: Tak setuju.

Dilaporkan SRC memperolehi sejumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) antara akhir 2011 dan awal 2012.

Najib juga tidak bersetuju dengan dakwaan Thomas bahawa penglibatannya sebagai perdana menteri ketika itu menyebabkan pembayaran bahagian pertama pinjaman RM2 bilion (pada akhir 2011) dipercepatkan berikutan kelulusan kabinet yang memberikan jaminan kerajaan untuk pinjaman itu.


11.19 pagi – Prosiding bersambung.

10.52 pagi – Mahkamah berehat seketika.


Jaminan k’jaan percepat pinjaman SRC sebab peluang pelaburan – Najib

10.50 pagi – Bekas perdana menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa proses pembentangan jaminan kerajaan untuk pinjaman RM2 bilion SRC International kepada kabinet pada tahun 2011 telah dipercepat kerana terdapat peluang pelaburan yang menunggu syarikat itu.

Beliau berkata demikian apabila menjawab soalan Peguam Negara, Tommy Thomas, yang bertanya kepadanya mengapa kertas kabinet mengenai perkara itu cuma dilakukan dalam masa dua hari sahaja, seperti keterangan oleh saksi terdahulu yang terlibat dalam proses berkenaan.

Thomas: Soalan saya adalah, apakah kecemasan dan keperluan (yang menyebabkan) secara tergesa-gesa untuk mendapatkan jaminan kerajaan untuk terhadap pinjaman KWAP berjumlah RM2b kepada SRC? Kenapa kamu menganggap ini sangat penting?

Najib: Syarikat SRC ditubuhkan kerana keperluan dari segi strategi negara. Dan ini disokong Unit Perancang Ekonomi (EPU). Kerana mereka menyatakan ada peluang pelaburan, maka keperluan kewangan SRC perlu diusahakan. Sebab itu perkara ini dilakukan. Dan saya nak nyatakan bukan perkara luar biasa keperluan mana-mana syarikat baru diusahakan dalam masa singkat.


Hakim benarkan AG soal Najib mengenai dokumen dipertikai pembelaan

10.29 pagi – Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak bantahan terhadap peguam bela terhadap pemeriksaan balas pendakwaan terhadap Najib Abdul Razak berhubung dokumen yang dipertikaikan.

Hakim mengeluarkan keputusan itu selepas penghujahan antara peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah dan DPP V Sithamabaram serta Peguam Negara Tommy Thomas.

Shafee berkata pihak pendakwaan tidak seharusnya dibenarkan menyoal tertuduh mengenai dokumen itu.

Dokumen yang dimaksudkan dikatakan membabitkan tertuduh dicalonkan sebagai wakil korporat 1MDB dan juga SRC International.

“Saksi itu telah diminta berulang kali (mengenai dokumen) yang mana beliau mempertikaikan tanda tangan (pada dokumen tersebut).

“Tetapi di sini kita (pendakwaan) terus bertanya kepadanya (Najib). Ini adalah perkara yang dipertikaikan dan ia perlu berakhir di sini,” kata Shafee sambil menambah bahawa pihaknya juga bersedia untuk mengemukakan serahan mengenai perkara berkaitan kemudian.

Terdahulu dilaporkan pembelaan akan memfailkan permohonan untuk membenarkan seorang pakar tulisan tangan Australia untuk memeriksa dokumen yang dikatakan mengandungi tanda tangan Najib.

Kebanyakan dokumen-dokumen ini telah diserahkan pihak pendakwaan ke mahkamah, sebelum keputusan mahkamah pada 11 November bahawa Najib perlu membela dirinya dalam kes menyelewengkan RM42 juta dana SRC International.

DPP Sitham kemudian berhujah pendakwaan perlu dibenarkan menyoal tertuduh berhubung dokumen ini kerana sekiranya mahkamah bersetuju bahawa dokumen itu tidak asli, maka nanti dokumen-dokumen tersebut dapat dikeluarkan daripada rekod mahkamah.

Shafee pula membalas hujahan itu, berkata pendakwaan mempunyai setiap peluang semasa peringkat perbicaraan kes peringkat pendakwaan untuk menghantar dokumen tersebut bagi pemeriksaan tetapi tidak pernah dilakukan.

“Mereka mempunyai peluang untuk menghantar sampel tandatangan kepada ahli kimia tetapi mereka tidak pernah melakukannya, mereka mahu memaksa (bulldoze) perbicaraan,” kata Shafee.

Walau bagaimanapun, Nazlan membenarkan Thomas untuk terus menyoal Najib tentang dokumen tersebut.


Najib tak setuju kenyataan ‘SRC syarikat perdana menteri’

9.45 pagi – Bekas perdana menteri Najib Razak tidak bersetuju dengan kenyataan Peguam Negara Tommy Thomas bahawa SRC International adalah “syarikat perdana menteri.”

Tertuduh membuat penafian ini semasa pemeriksaan balas, apabila Thomas merujuk kepada keterangan terdahulu oleh saksi pendakwaan ke-41, timbalan setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan pada ketika kes itu, Afidah Azwa Abdul Aziz.

Thomas memaklumkan kepada Najib bahawa Afidah memberi keterangan SRC Internatioal adalah syarikat perdana menteri.

Thomas: Dia memberi keterangan setakat yang diketahuinya, SRC adalah syarikat perdana menteri.

Najib: Saya tidak setuju dengan itu.

Thomas: Itulah bagaimana dia dan rakan-rakan setugasnya melihat SRC.

Najib: Ia tidak ada kena-mengena dengan saya memiliki syarikat itu.

Thomas: Kamu tidak bersetuju dengan pencirian (characterisation) yang diberikan oleh salah seorang kakitangan kamu bahawa SRC adalah syarikat perdana menteri?

Najib: Tak setuju.


Keputusan SRC dibuat sebelum lantikan lembaga pengarah – AG

9.40 pagi – Prosiding bermula pagi ini dengan peguam Tommy Thomas meminta Najib Razak mengenai nota tulisan tangannya pada empat surat.

Thomas kemudian meminta bekas perdana menteri untuk mengesahkan butiran mengenai dokumen rasmi yang berkaitan dengan SRC International.

Ini termasuk surat pelantikan tujuh pengarah SRC International bertarikh 1 Ogos 2011; Memorandum dan Artikel Persatuan syarikat bertarikh 4 Jan 2011; serta surat dan e-mel pada bulan Jun dan Julai 2011 yang mendokumenkan dua permohonan SRC untuk meminjam daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).

Menjawab soalan ini, Najib mengesahkan tarikh dokumen berkenaan.

Sebaik sahaja ini berlaku, Thomas kemudian mengatakan kepada Najib mengenai fakta bahawa SRC International telah membuat keputusan untuk memohon pinjaman daripada KWAP pada bulan Jun dan Julai, manakala ahli lembaga pengarahnya hanya dilantik pada bulan Ogos pada tahun itu.

Thomas: Kamu akan setuju bahawa tujuh dokumen ini menandakan keputusan yang berkaitan dengan SRC, telah dilakukan sebelum lembaga pengarah dilantik pada 1 Ogos 2011. Semua dibuat sebelum pelantikan para pengarah. Itulah faktanya.

Najib: Pelantikan rasmi. Tetapi mereka mungkin telah dicadangkan oleh lembaga pengarah. Saya perlu menyemaknya. Tetapi pelantikan rasmi pada 1 Ogos.

Thomas: Kamu banyak kali berkata apabila saya menyebut tentang peranan kamu sebagai ketua lembaga penasihat SRC, jawapan standard kamu semalam adalah semua langkah yang diambil (oleh SRC) adalah atas nasihat lembaga penasihat SRC. Kamu ingat itu?

Najib: Ya. Jika nasihat itu didapatkan oleh lembaga.

Thomas: Bagaimana kamu boleh menerima nasihat sedemikian yang berkaitan dengan tujuh dokumen ini (ditandakan sebagai P356 ke P372) apabila lembaga pengarah masih belum wujud lagi?

Najib: Ia tentulah dikemukakan oleh CEO pada masa itu.

Thomas kemudian berkata kepada Najib, mencadangkan bahawa semua keputusan telah dibuat atas arahannya secara peribadi.

Walau bagaimanapun, Najib tidak bersetuju dengan cadangan itu.


9.23 pagi – Najib Razak masuk ke kandang saksi dan prosiding bermula apabila Peguam Negara Tommy Thomas menyambung semula pemeriksaan balas terhadap bekas perdana menteri.

Juga dilihat di Mahkamah Tinggi ialah peguam bela utama tertuduh Muhammad Shafee Abdullah.


9.04 pagi – Tertuduh Najib Razak memasuki Mahkamah Tinggi dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam sementara menunggu prosiding bermula.

Juga dilihat di mahkamah ialah Peguam Negara Tommy Thomas dan DPP lain, serta anggota pasukan pembelaan mantan perdana menteri.

Juga dilihat duduk dan bercakap dengan Najib ialah MP Pontian Ahmad Maslan dan anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam.


Semalam, Peguam Negara Tommy Thomas memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau menjangkakan akan dapat menyelesaikan soalan terhadap Najib yang juga bekas penasihat emeritus SRC International dalam pendengaran hari ini.

Pasukan pendakwa yang diketuai Thomas itu mula menyoal tertuduh semalam. Ini selepas pasukan peguam bela yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah telah menyelesaikan pemeriksaan utama terhadap Najib.

Pemeriksaan balas semalam menyaksikan pertikaman lidah antara Thomas dan Najib, dalam isu-isu seperti kuasa dan pengaruh Najib dalam proses membuat keputusan yang menyaksikan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) meminjamkan RM4 bilion kepada SRC International antara penghujung tahun 2011 dan awal tahun 2012.

Perbicaraan semalam juga menyaksikan Najib memberi keterangan bahawa beliau membenarkan isterinya Rosmah Mansor memilih hadiah ulang tahunnya berupa jam mewah berharga AS$130,625 (RM466,330.11) dan dibeli melalui kad kredit.

Ini berpunca daripada rasa bersalah Najib yang secara tiba-tiba terpaksa bergegas pulang ke tanah air dan memendekkan percutian bersama keluarganya di Hawaii demi menangani keadaan banjir di Pantai Timur Malaysia pada bulan Disember 2014.

Tinggalkan komen anda