Suruhanjaya Sekuriti AS: Najib dapat sogokan dari bon 1MDB


shadow

Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC) menamakan bekas perdana menteri Najib Razak sebagai penerima wang sogokan daripada bon 1MDB yang diraih Goldman Sachs melibatkan bekas eksekutifnya, Tim Leissner.

SEC berkata demikan dalam ‘cease and desist order‘ bagi prosiding terhadap Leissner, selepas dia membuat tawaran penyelesaian bagi pertuduhan terhadapnya, yang termasuk penggantungan kekal dalam industri sekuriti.

Dalam perincian latar belakang kes itu, SEC berkata Leissner membantu meraih bon bernilai AS$6.5 bilion untuk 1MDB dengan preteks menyokong projek yang memberi manfaat keada rakyat Malaysia.

“Leissner dan yang lain sebaliknya merancang dan melakukan skim untuk menyeleweng lebih AS$2.7 bilion dan mengagihkan wang itu sebagai rasuah dan sogokan kepada pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi, termasuk tetapi tidak terhad kepada Najib serta beberapa individu yang terlibat dalam skim itu dan keluarga mereka, termasuk Leissner,” katanya.

SEC berkata Leissner terutamanya tahu yang Najib akan mendapat manfaat daripada terbitan bon yang dibuat pada 2012, digelar sebagai “Projek Maximus”.

“Leissner pada masa itu juga tahu bahawa Najib dan pegawai kerajaan Abu Dhabi dan pegawai 1MDB akan menerima wang daripada apa yang diperolehi Projek Maximus, yang disalurkan menerusi pelbagai syarikat cengkerang yang secara benifisialnya dimiliki dan dikawal dirinya, Jho Low dan orang lain.”

Kata SEC lagi, seorang anggota keluarga dekat Najib turut menerima wang yang diselewengkan itu.

Jho Low kini diburu pihak berkuasa Malaysia dan Amerika Syarikat atas dakwaan urus niaga jenayah membabitkan 1MDB.

Projek Maximus melibatkan bon kedua yang diterbitkan 1MDB pada 2012, ketika fasa Aabar BVI.

Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, Najib menerima AS$30 juta ketika fasa ini.

DOJ menyatakan Najib kemudian menerima tambahan AS$681 juta yang diselewengkan daripada 1MDB, ketika fasa Tanore pada 2013.

Fasa Tanore juga dikenali sebagai Projek Catalyze, yang disebut SEC tetapi tanpa rujukan terhadap Najib.

Bagaimanapun, SEC berkata selepas Projek Catalyze berakhir, ada transaksi tambahan yang membawa kepada sogokan termasuk “pemindahan kira-kira AS1.3 juta kepada akaun seorang tukang barang kemas New York untuk membayar barang kemas bagi pasangan Najib.”

Ia merujuk kepada 27 utas rantai dan gelang emas 18-carat yang didakwa dibeli Low untuk Rosmah Mansor.

Najib kini sedang berdepan perbicaraan atas tuduhan berkaitan fasa Tanore dalam skandal 1MDB.

Tinggalkan komen anda