Tanggungjawab peguam negara selesai kes Altantuya, kata Ramkarpal


shadow

KINI menjadi tanggungjawab Peguam Negara Tommy Thomas untuk mendedahkan misteri berhubung siapa yang mengarahkan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang mana pendahulunya sebelum ini gagal berbuat demikian, kata Ramkarpal Singh.

Pengerusi biro perundangan DAP itu berkata, persoalan mengenai siapa yang mengarahkan pembunuhan Altantuya tidak pernah selesai di bawah bekas peguam negara sebelum ini (Abdul Gani Patail dan Mohamed Apandi Ali).

“Motif pembunuhan itu tidak pernah didedahkan ketika perbicaraan mahkamah yang berakhir di Mahkamah Persekutuan pada 2015.

“Saya pernah katakan sebelum ini misteri siapa yang mengarahkan pembunuhan Altantuya perlu diselesaikan dan ia akan menjadi salah satu pencapaian Thomas ketika memegang jawatan itu, walaupun ia bukanlah yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.

Ramkarpal mewakili keluarga Altantuya.

Semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, polis mula menyiasat akuan bersumpah (SD) oleh bekas komando Azilah Hadri membabitkan Najib Razak dalam pembunuhan Altantuya.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab polis untuk menyiasat SD Azilah, sebagai sebahagian daripada permohonannya untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang mensabitkan dirinya dalam pembunuhan Altantuya.

Minggu lalu, Najib menafikan dakwaan beliau terlibat dalam pembunuhan Altantuya, sebagaimana yang didakwa Azilah.

Najib turut mempersoalkan mengapa sekarang Azilah membuat dakwaan itu, dan mengatakan ia mungkin rancangan Pakatan Harapan untuk mengalihkan tumpuan rakyat terhadap kekurangannya.

Ramkarpal berkata ia adalah asas bahawa Najib mesti dipanggil untuk memberikan kenyataannya untuk membantu siasatan.

“Saya tidak melihat bagaimana kebenaran atau kepalsuan dakwaan Azilah dalam SD itu boleh disahkan tanpa memanggil Najib untuk tujuan berkenaan.

“Memandangkan polis akhirnya akan mengemukakan penemuan penyiasatan mereka kepada AG, saya menggesa AG untuk memastikan bahawa kenyataan diambil dari Najib dengan mengarahkan perkara yang sama jika KPN gagal berbuat demikian.”

Ramkarpal yang turut mengalu-alukan siasatan itu berkata, pembunuhan Altantuya tidak akan selesai tanpa memanggil Najib dan pihak yang disebut dalam SD.

Pada 17 Oktober lalu, Azilah dalam akuan bersumpahnya berkata Najib mengarahkan dirinya untuk membunuh penterjemah warga Mongolia berusia 28 tahun itu.

Turut menjadi individu penting dalam kematian Altantuya ialah pegawai kanan polis Musa Safri, yang merupakan pembantu Najib, menurut SD.

Azilah berkata rakan rapat Najib, Abdul Razak Baginda, mengulangi arahan untuk membunuh Altantuya dan mengesahkan arahan itu adalah daripada timbalan perdana menteri ketika itu.

Tinggalkan komen anda