Teksi air Indonesia mencurigakan ditahan di perairan Johor Timur


shadow

JOHOR BAHRU: Sebuah bot gentian kaca atau ‘teksi air’ dari Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Johor Timur semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) Mohd Zulfadli Nayan berkata bot itu ditahan oleh pasukan peronda APMM di kedudukan 2.8 batu nautika tenggara Tanjung Penyusop di Kota Tinggi pada pukul 1.30 tengah hari setelah dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketika ditahan, bot bertanda APPOLO 03 itu membawa seramai 20 lelaki warga Indonesia berumur 22 hingga 54 tahun yang terdiri daripada seorang tekong, dua kru bot dan 17 penumpang, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zulfadli berkata daripada akuan awal, semua penumpang menyatakan mereka dalam perjalanan ke sebuah kapal dagang untuk kerja-kerja pembersihan tangki.Kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Kastam 1967 kerana berapung-apung dalam keadaan mencurigakan serta di bawah Seksyen 474(2) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana menjalankan perkhidmatan tanpa lesen.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk atau keluar dari negara ini melalui pintu tidak diwartakan serta Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan perkhidmatan penyeludupan migran.

Beliau berkata penahanan itu dilakukan sebagai pencegahan kemalangan di laut, sekali gus mengurangkan kehilangan nyawa dan harta benda ketika laut bergelora terutama ketika musim tengkujuh.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda