Tidak ada jaminan PM ke-8 ‘yang terbaik’, kata Dr Mahathir


shadow

PERDANA Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengulangi janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim walaupun beliau tidak dapat menjamin penggantinya adalah “orang terbaik” bagi menggalas tugas itu.

Dr Mahathir, yang kini berada di Qatar untuk menghadiri Forum Doha, berkata beliau mahu menyelesaikan masalah yang dihadapi Malaysia, terutama masalah yang diwarisi daripada kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional sebelum beliau meletak jawatan.

Beliau ditanya sama ada 2020 akan menjadi tahun terakhir beliau memegang jawatan tertinggi kerajaan itu dan apakah beliau berpandangan Malaysia memerlukan kepimpinan yang diterajuinya menjelang tahun depan.

“Begini, saya berjanji bahawa saya akan melepaskan jawatan sebaik sahaja saya menyelesaikan masalah utama yang ditinggalkan pentadbiran kerajaan sebelum ini. Saya berjanji saya akan letak jawatan dan serahkan kepada calon yang ditetapkan gabungan itu, “kata Dr Mahathir.

Ketika ditanya sama ada Anwar adalah “calon terbaik”, pengerusi Pakatan Harapan itu berkata beliau “tidak boleh menjamin siapa orang terbaik untuk ambil alih (jawatan perdana menteri)”.

“Kerana saya mempunyai pengalaman buruk dengan pengganti saya, apabila mereka ambil alih, mereka lakukan perkara yang berbeza.”

Awal bulan lepas, Dr Mahathir memberitahu The Financial Times bahawa tidak ada satu masa yang ditetapkan bagi peralihan kuasa kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang telah dipersetujui gabungan Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Beliau juga memberitahu Times bahawa “waktu sebenar saya akan (letak jawatan) bergantung kepada masalah yang kita hadapi”.

Peralihan kuasa tersebut dilaporkan secara meluas dijangka akan berlaku “dalam masa dua tahun” selepas PH membentuk kerajaan persekutuan tahun lepas.

Dr Mahathir dan Anwar, walaupun berulang kali menjamin bahawa peralihan kuasa itu akan berlaku, sering ditanya sama ada ia masih sah dalam rancangan gabungan politik itu.

Di Doha hari ini, Dr Mahathir juga ditanya sama ada beliau menyesal tentang hubungan beliau dengan Anwar yang pernah terjejas – merujuk pemecatan bekas timbalan perdana menteri beliau itu pada tahun 1998, dan tuduhan liwat serta hukuman penjara yang dilalui Anwar.

“Sebelum ini, kami bermusuh antara satu sama lain tetapi kami sedar keperluan negara lebih penting daripada perasaan peribadi kita.

“Jadi kami putuskan untuk melupakan masa lalu dan tumpu pada pembangunan negara. Itu lebih penting daripada pertengkaran kami, “katanya.

Dr Mahathir berkata sukar untuk menetapkan garis masa kerana masalah hutang negara. Jawapan yang tidak mempunyai jaminan tersebut menimbulkan keresahan terhadap penyokong Anwar dalam PKR yang sering menyerang Dr Mahathir secara terbuka.

Anwar bagaimanapun menyatakan bahawa beliau dan Dr Mahathir telah bersetuju bahawa tarikh tetap tidak boleh dinyatakan di khalayak ramai kerana ia boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan di bawah perdana menteri. – 14 Disember, 2019.

  • astro Awani

Tinggalkan komen anda