Tindakan ganas tidak kurangkan Islamofobia, kata Dr Mahathir


shadow

DR Mahathir Mohamad menegaskan perlunya untuk umat Islam, di sebalik kemarahan dan kekecewaan mereka, mengelak daripada melakukan tindakan keganasan kerana ia tidak dapat membantu usaha dalam menentang Islamofobia.

Perdana menteri berkata, umat Islam boleh mengisytiharkan bahawa Islam tidak menganjurkan keganasan seperti itu tetapi ini akan ditolak sekiranya tindakan mereka dilakukan akibat kemarahan.

“Selagi kita bertindak dengan kemarahan, selagi kita melakukan perkara yang menakutkan orang, dan lebih buruk lagi jika kita melakukan jihad Islam, ketakutan terhadap umat Islam dan agama Islam tidak akan berkurangan,”katanya.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi persidangan itu, berkata demikian dalam ucaptama pada pembukaan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, di ibu negara, hari ini.

Persidangan edisi kelima itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Persidangan tersebut dihadiri pemimpin Islam seperti Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani.

Dr Mahathir berkata umat Islam telah melakukan lebih banyak kerosakan terhadap agama sendiri dengan melakukan keganasan yang tidak dapat disangkal.

“Kita mungkin mendakwa melakukan jihad tetapi hasilnya adalah lebih banyak penindasan terhadap umat Islam di merata tempat,” katanya, sambil memetik contoh di mana umat Islam diusir dari negara asal, ditolak oleh negara suaka, ditindas dan dikutuk.

“Kami marah dan kecewa. Kami tidak boleh melancarkan perang konvensional. Tiada negara akan membantu kita. Biarpun jika ada, apa yang kita dapat dengan tindakan keganasan? Tiada apa-apa,” katanya.

Beliau berkata beberapa pihak mendakwa tindakan keganasan dilakukan oleh mazhab lain yang dilabel sebagai bukan pengikut Islam sebenar.

“Tetapi penentang dan mangsa tidak peduli dengan perbezaan mazhab kita. Bagi mereka, kita semua Muslim. Perbezaan antara mazhab tidak relevan,” kata perdana menteri.

Selain kebangkitan Islamofobia, ucapan Dr Mahathir juga tertumpu kepada isu-isu seperti persepsi terhadap Islam, tamadun Islam serta tadbir urus, pembaharuan dan transformasi.

Dalam penilaian terhadap dunia Islam, perdana menteri berkata tidak ada satu negara Islam yang diklasifikasi sebagai negara maju walaupun memiliki kekayaan​​​​​​ besar namun diiktiraf sebagai negara membangun.

“Mereka semua lemah dan tidak mampu melindungi ummah sebagaimana kewajipan mereka terhadap agama,”  katanya sambil menambah umat Islam hari ini telah hilang rasa hormat oleh dunia dan tidak lagi menjadi sumber ilmu atau menjadi model ketamadunan.

Dr Mahathir berkata umat Islam ditindas di semua tempat dengan mana-mana negara boleh menindas orang Islam dan terlepas serta tindakan balas akan diambil terhadap umat Islam jika mereka mengutuk penindasan sedemkian.

“Jadi kita hari ini tidak bebas kerana kita tidak kuat…adalah penting kita cuba dan memberi tumpuan terhadap pembangunan negara kita supaya boleh menjadi kuat dan mempertahankan ummah,” kata perdana menteri.

Beliau berkata umat Islam mungkin melihat masa depan mereka digambarkan sebagai suram tetapi ia tidak bermakna semuanya musnah.

“Kita perlu menyingkap masa lalu semasa kegemilangan tamadun Islam dan mampu menangkis cubaan merampas tanah kita.

“Ia juga adalah kenyataan bahawa Islam adalah satu tamadun yang hebat apabila pengikutnya mengamal ajaran Islam yang sebenar ketika mereka bersatu, rajin dan berminat belajar dan meneroka dunia untuk mencari ilmu pengetahuan,” katanya.

Tinggalkan komen anda