Tuduhan tutup Mara Corp boleh cetus sentimen kaum, kata pengerusi


shadow

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang menuduh sebuah anak syarikatnya Mara Corporation mengalami masalah kewangan dan akan ditutup.

Pengerusi Mara Hasnita Hashim berkata tuduhan itu satu fitnah dan tidak benar sama sekali.

“Mara tidak teragak-agak untuk mengambi tindakan ke atas mana-mana pihak yang terus menerus membuat fitnah dan menyampaikan maklumat tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, dakwaan seperti itu boleh mencetuskan sentimen perkauman dan menjejaskan ketenteraman awam.

Beliau merujuk dakwaan dibangkitkan pemimpin parti Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang menulis di Facebook bahawa agensi tersebut akan ditutup tidak lama lagi.

“Sekarang pun fungsi Mara telah dikurangkan, bajet dikurangkan, staf diberhentikan, gaji tak dibayar,” kata timbalan naib presiden Putra itu yang juga seorang peguam.

Isu sama dibangkitkan gabungan NGO Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang mendakwa Mara bertindak tanpa mengikut undang-undang dengan menutup Mara Corp.

Perkara itu dibangkitkan Setiausaha Agung MPM Hasan Mad dalam satu tulisan di blog Malaysia Gazette semalam.

Menurut Hasan, keputusan menghentikan operasi mana-mana anak syarikat Mara perlu mendapat pandangan orang Melayu.

Tulisan itu turut mendakwa bayaran gaji kakitangan Mara Corp tertunggak sehingga tiga bulan sejak Ogos lalu.

Tuduhan itu dinafikan Pengerusi Mara Corp Muammar Ubaidah Sanusi dalam satu kenyataan berasingan.

Muammaf berkata pembayaran gaji itu pernah berlaku sebanyak tiga kali sepanjang 2019 tetapi tidak pernah tertunggak sehingga tiga bulan seperti didakwa.

“Kelewatan pembayaran gaji kepada kakitangan Mara Corp dari tarikh yang ditetapkan pernah berlaku tiga kali sepanjang 2019, termasuklah pada Ogos di mana ia tertunggak dan dibayar hanya pada minggu pertama September.

“Kelewatan tersebut diakibatkan perubahan serta penyelarasan proses termasuk pembayaran dividen dan agihan wang pengurusan anak syarikat Mara oleh pihak Majlis Mara yang masih berterusan,” katanya.

Beliau menegaskan Mara Corp tidak pernah dimaklumkan atau dibawa berbincang mengenai penutupan operasi atau penjualan asetnya.

Katanya, anak syarikat Mara Corp yang mencatat kerugian sehingga RM74 juta sebelum ini juga dijangka meraih keuntungan sehingga RM20 juta kali ini.

Hasnita pada Februari lalu mengumumkan melupuskan semua perniagaan yang tidak berpotensi atau beroperasi dalam kerugian untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya.

Katanya, perkara itu akan dijalankan selepas kajian teliti. Syarikat dengan model perniagaan yang baik pula akan dibantu.

Ia merupakan antara langkah untuk memastikan Mara menumpukan kepada objektif asalnya untuk meningkatkan ekonomi golongan berpendapatan rendah.

Tinggalkan komen anda