Tun M mahu Sabah, Sarawak pertimbang miliki saham Petronas


shadow

KUCHING – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Sarawak dan Sabah menimbang kedudukan Petronas sebagai syarikat minyak dunia semasa mengkaji cadangan untuk memiliki kepentingan dalam syarikat itu.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, Dr Mahathir membuat saranan itu pada pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Putrajaya pada Isnin.

Dalam pertemuan selama 90 minit itu, Dr Mahathir mempelawa Sarawak dan Sabah untuk meneroka gagasan tiga wilayah di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah untuk memiliki kepentingan dalam Petronas.

“Ini mengambil kira mengenai kedudukan syarikat minyak negara itu sebagai syarikat minyak global dengan konsesi di luar negara terutama di Asia Tengah, Afrika dan Amerika Utara, terutama di Kanada,” katanya.

Menurut kenyataan itu, dalam pertemuan tersebut, Abang Johari memaklumkan kepada Dr Mahathir bahawa Sarawak perlu mengkaji cadangan itu secara mendalam dan mahu mengukuhkan penyertaan syarikat minyak dan gas milik negeri itu iaitu Petros dalam aktiviti hiliran dan huluan industri di Sarawak. – Bernama

Tinggalkan komen anda