Tun M yakin krisis dalaman PKR tak jejas PH, kerajaan


shadow

LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad yakin konflik kepemimpinan dalam PKR tidak akan menjejaskan Pakatan Harapan (PH) serta pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Sambil mengulangi pendiriannya tidak akan campur tangan menyelesaikan isu di antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, berkata perselisihan faham dalam kepemimpinan parti politik adalah perkara biasa.

“Ini masalah dalaman PKR, saya tidak akan campur tangan. Saya harap kita boleh bekerjasama dan kerajaan terus berwibawa.

“Perselisihan faham memang berlaku dalam mana-mana kepimpinan, tetapi saya yakin ia tidak akan sehingga menjejaskan PH dan pemerintahan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua Jabatan dan Pimpinan PH Langkawi di sini, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), menegaskan apa yang beliau mahu ketika ini adalah kerajaan dapat terus berfungsi dengan baik dan berwibawa dalam menggerakkan negara.

Perdana Menteri juga percaya PKR menjadi tumpuan ketika ini kerana parti itu adalah sebahagian daripada kerajaan yang memerintah sekarang.

“Parti lawan pun ada masalah, tetapi mereka tidak jadi kerajaan dan orang tidak peduli. Bila kita jadi kerajaan, jika ada selisih faham, walaupun sedikit dan biasa sahaja, maka ia jadi tumpuan,” katanya.

Beliau diminta mengulas kekecohan pada Kongres Nasional PKR di Melaka semalam apabila Mohamed Azmin bersama sebahagian Ahli Majli Pimpinan Pusat (MPP) parti itu serta penyokongnya meninggalkan dewan persidangan kerana mendakwa pentas perbahasan bertukar menjadi medan ‘serangan peribadi’ terhadapnya.

Timbalan Presiden PKR itu juga mendakwa Anwar gagal memenuhi janji memastikan pembahas patuh pada kerangka dan parameter ucapan yang dipersetujui dalam mesyuarat khas antara mereka di bangunan Parlimen pada Rabu lalu.

Persetujuan itu antara lain adalah komposisi pembahas adalah adil dan mewakili semua pihak, selain tidak dibenarkan menyinggung, menyindir dan menyerang mana-mana pihak.

Pagi tadi pula, iaitu hari terakhir kongres bermula tanpa kehadiran Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu serta pimpinan yang menyokongnya.

Petang ini, Mohamed Azmin dijadual hadir dan berucap pada majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama di sebuah hotel di Kuala Lumpur, bersama beberapa pemimpin PKR yang dikaitkan sebagai penyokongnya.

Sementara itu, Dr Mahathir ketika ditanya mengenai isu daulah terpendam dalam kalangan kakitangan awam, menegaskan beliau yakin kerajaan dapat menyelesaikan masalah itu dalam tempoh masa terdekat.

“Masalah dendam (terhadap kerajaan) memang ada, tetapi saya ingat kita boleh bendung perkara ini, ia bukan masalah. Pada zaman saya jadi Perdana Menteri dulu pun, berlaku banyak masalah, tetapi kita boleh mentadbir juga,” katanya.

Tinggalkan komen anda