Ujian lisan untuk mereka yang gagal PSV, kata Loke


shadow

MEREKA yang tiga kali gagal ujian Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) kerana masalah pemahaman dan bahasa boleh memilih untuk mengambil ujian lisan, kata Anthony Loke Siew Fook.

“Mereka yang gagal tiga kali akan diberikan kursus khas manakala mereka yang mempunyai masalah untuk memahami ujian bertulis boleh mengambil ujian lisan,” kata Loke pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri pengangkutan itu menjawab soalan Fong Kui Lun (Bukit Bintang-PH) yang bertanya bagaimana kerajaan akan membantu pemandu yang gagal ujian PSV.

Sementara itu Loke berkata, 91,978 pemandu telah mendapat lesen PSV mereka manakala 42,818 gagal dalam ujian yang diambil setakat 2 Disember, 2019.

Walaupun, 42,818 hanya angka kumulatif kerana kebanyakan mereka sudah menduduki semula ujian PSV dan lulus.

“Jumlah keseluruhan lesen PSV yang aktif untuk teksi dan bas adalah 358,944. Jumlah keseluruhan teksi PSV adalah 28,869.”

Sementara tu, Loke berkata kerajaan sedang merancang projek pilot di Lembah Klang untuk menguji e-hailing motosikal.

“Akan ada tempoh percubaan dan projek pilot ini akan membolehkan kita melihat bagaimana ia berfungsi dan untuk mencari masalahnya.

“Bagi penumpang wanita, kita cuba untuk melihat bagaimana aplikasi ini boleh padankan penumpang wanita dengan pemandu wanita atas sebab keselamatan,” kata Loke.

Loke menjawab soalan Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar-BN) yang bertanya sama ada akan ada undang-undang baharu untuk menguruskan perkhidmatan e-hailing motosikal dan bagaimana kerajaan merancang untuk melindungi penumpang wanita.

Tinggalkan komen anda