Unesco iktiraf tarian tradisi Uzbekistan


shadow

SEBUAH tarian tempatan dari negara Uzbekistan telah tersenarai dalam senarai Unesco di bawah kategori warisan budaya tidak ketara.

Timbalan Perdana Menteri Aziz Abdukhakimov pada Jumaat berkata tarian Lazgi itu disenaraikan ketika sesi ke-14 Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Perlindungan Warisan Tidak Ketara diadakan di Bogota, Colombia.

Pada awalnya, tarian itu hanya dikaitkan dengan rantau di barat laut Khorezm (Xorazm), sebelum ia berkembang di seluruh negara.

Abdukhakimov berkata tarian Lazgi telah ditambah ke dalam senarai itu sebagai pengiktirafan keunikan dan kekayaan nilai sejarahnya. 

Menurut laporan agensi berita Anadolu, Uzbekistan turut berharap Bakhshi, seni pujangga tradisi rakyat turut diiktiraf badan dunia itu.

Di samping itu, beberapa khazanah Uzbekistan telah tersenarai dalam Unesco termasuk daerah tenggara Boysun, muzik Shahmaqom, hidangan tradisional Palov, Askiya (seni budaya) dan lagu tradisi Katta Ashula.  – Bernama, 14 Disember, 2019. 

Tinggalkan komen anda