Usaha perkasa Jabatan Penerangan diteruskan, kata timbalan menteri


shadow

USAHA untuk memperkasakan Jabatan Penerangan (Japen) di seluruh negara akan terus dilakukan menerusi peruntukan dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan baru-baru ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata sejumlah peruntukan ini dipercaya sangat munasabah untuk Japen beroperasi dengan selesa dan selamat.

“Kami akui banyak peralatan yang telah ketinggalan zaman atau outdated. Selain itu, kami juga melihat pegawai penerangan di lapangan pun masih banyak yang kosong.

“Kami memerlukan mereka ini sebagai penghubung dan ‘lidah rasmi kerajaan’ dalam menangani isu-isu yang boleh menggugat kestabilan dan keselamatan negara. Oleh itu, untuk memastikan Japen dapat menyempurnakan tanggungjawab yang diberikan, maka kami mesti memastikan dari segi pejabat, peralatan dan kakitangan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Khatan Perdana Peringkat Daerah Kuala Pilah 2019 di Masjid Jamek Yamtuan Raden di Kuala Pilah.

Mengulas lanjut, Eddin Syazlee yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah berkata semua permasalahan itu perlu diteliti termasuk menimbang memperbaharui kemudahan bagi membolehkan Japen mendepani era digital dengan lebih baik.

Seramai 70 kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun menyertai program tersebut dan setiap peserta menerima barangan dapur dan senaskah tafsir al-Quran. Eddin Syazlee turut menyampaikan sumbangan RM7,000 bagi menjayakan program tersebut.  

Program tersebut adalah anjuran Masjid Jamek Yamtuan Raden dan Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Pilah dengan kerjasama Pejabat Parlimen Kuala Pilah, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah dan Hospital Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Tinggalkan komen anda