1 juta kenderaan dijangka masuk Kelantan sempena Tahun Baharu Cina


shadow

PASIR PUTEH: Sebanyak 1 juta kenderaan dijangka memasuki Kelantan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, mulai minggu ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata pihaknya turut mengenalpasti 30 lokasi panas yang kerap berlaku kemalangan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata antara kawasan tumpuan adalah di Kota Bharu seperti Kota Bharu-Pasir Puteh, Kota Bharu-Pasir Mas di kawasan Pendek, Kota Bharu-Kuala Krai di kawasan Wakaf Che Yeh dan Jalan Padang Garong.

Katanya, bagi daerah lain yang diberi tumpuan adalah di Gua Musang yang menjadi laluan utama negeri ini ke Kuala Lumpur iaitu di Kilometer (KM) 20 hingga 35, KM56 hingga 58 dan KM61 hingga 72.

“Di Kota Bharu, kebanyakan kemalangan tidak menyebabkan kemalangan serius namun kerap berlaku kemalangan.

“Lokasi sering berlaku kemalangan maut biasanya yang jauh seperti Kuala Krai dan Gua Musang di lokasi kilometer yang saya sebutkan tadi, ini kerana kawasan itu dilalui kenderaan berat seperti bas, lori dan keadaan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Op Selamat 16/2020 sempena Perayaan Tahun Baru Cina di Balai Polis Bukit Yong, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah.

Hasanudin berkata, untuk operasi tahun ini, seramai 100 anggota polis trafik akan ditugaskan setiap hari di kawasan tumpuan sepanjang seminggu musim cuti perayaan.

“Hasil operasi sama tahun lalu, kita merekodkan jumlah kemalangan sebanyak 495 kes dengan sembilan kes membabitkan kemalangan maut dengan bilangan kematian seramai 11 mangsa.

“Kita tidak mampu dapat kosongkan kemalangan walaupun pelbagai kempen keselamatan, sekatan jalan raya dan saman dikeluarkan, namun saya berharap kita dapat kurangkan kemalangan dengan mengubah sikap pemanduan,” katanya.

Tinggalkan komen anda