25 premis dikompaun kerana gagal pamer papan tanda Jawi


shadow

SEBANYAK 25 pemilik premis perniagaan di Kuantan masing-masing dikompaun RM250 kerana gagal mempamerkan tulisan Jawi pada papan perniagaan mereka. 

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Norkamawati Kamal berkata kompaun itu melibatkan premis di sekitar bandar dan kawasan perindustrian Batu 3 serta Padang Lalang di Kuantan.

“Tindakan kompaun dibuat selepas arahan memasang papan tanda tulisan Jawi mula berkuat kuasa pada 1 Januari lepas dan tindakan itu diharap memberi kesedaran kepada pemilik premis untuk mematuhi arahan yang diberikan. 

“Malah, tempoh masa yang sewajarnya sudah diberi kepada pemilik premis untuk menambah tulisan Jawi pada papan tanda perniagaan mereka iaitu selama setahun,” katanya kepada pemberita, hari ini. 

Norkamawati berkata antara alasan yang sering diterima berhubung kegagalan mematuhi arahan itu adalah tempoh yang diberikan terlalu singkat selain belum menerima tulisan Jawi yang sudah ditempah.  

Premis perniagaan yang dikompaun pada hari ini juga diberikan tempoh selama tiga bulan untuk mempamerkan tulisan Jawi pada papan perniagaan mereka atau berdepan tindakan yang lebih tegas, katanya.  

“MPK memohon semua pemilik premis perniagaan untuk bekerjasama dengan mematuhi arahan itu. Jika mereka masih gagal memasang tulisan Jawi, mereka bukan hanya boleh dikenakan kompaun, tetapi lesen perniagaan juga boleh dibatalkan,” katanya. 

Arahan memasang papan tanda bertulisan Jawi pada premis perniagaan di Pahang berkuat kuasa pada 1 Januari lepas, selepas tempoh persediaan yang pada awalnya dijadualkan tamat pada Jun 2019 dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun lepas. 

Arahan itu juga selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang supaya penggunaan tulisan Jawi diperkasakan di Pahang. 

Tinggalkan komen anda