5 lagi warga China dikuarantin, kata menteri


shadow

LIMA kes terbaharu disyaki 2019 Novel Koronavirus direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, mereka yang terbabit kini dikuarantin dan sedang menunggu keputusan ujian makmal.

“Kita ada lima orang yang disyaki dan kini sedang menunggu laporan ujian makmal. Keputusan akan diketahui sedikit masa lagi jika disahkan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di KLIA2 hari ini.

Beliau berkata, daripada lima suspek berkenaan, dua daripadanya dikesan di Langkawi, Kuala Lumpur (2) dan Bintulu, Sarawak (1).

Kesemua lima suspek terbabit adalah warganegara China yang sedang bercuti di negara ini.

Dr Dzulkefly berkata, jumlah kes yang disahkan masih kekal empat kes dan kesemuanya melibatkan warganegara China yang datang bercuti di Malaysia.

Kerajaan China hari ini mengesahkan angka kematian wabak berkenaan meningkat kepada 80 orang yang mana 24 kematian terbaharu berlaku di wilayah Hubei manakala jumlah kes yang disahkan di seluruh negara berkenaan melonjak kepada 2,744 orang.

China mengambil langkah menutup wilayah Hubei yang menjadi pusat penularan wabak berkenaan sekaligus menjejaskan puluhan juta penduduk.

Langkah itu diambil bagi mengurangkan penularan wabak berkenaan.

Menteri kesihatan berkata kesemua mereka turut menerima rawatan simptom.

Mereka masing-masing dirawat di Hospita Langkawi, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Bintulu.

Kesemua mereka berada dalam keadaan stabil.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut menggesa rakyat Malaysia untuk mendapatkan maklumat dan berita daripada sumber yang boleh dipercayai serta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak disahkan di media sosial.

Tinggalkan komen anda