605 notis kesalahan merokok dikeluarkan di seluruh negara


shadow

KEMENTERIAN Kesihatan mengeluarkan 605 notis kesalahan merokok dengan jumlah kompaun bernilai RM144,450 dikeluarkan dalam operasi penguatkuasaan serentak di seluruh negara bermula 1 Januari.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 34 daripada jumlah itu dikeluarkan kepada golongan belum dewasa.

“Penguatkuasaan serentak yang bermula 1 Januari bermula 8 pagi sehingga tengah malam di seluruh Malaysia melibatkan 2,087 orang pegawai penguat kuasa KKM yang telah memeriksa 6,119 premis tempat makan.

“Sepanjang penguatkuasaan dijalankan sejumlah 605 notis kesalahan dengan jumlah kompaun RM144,450 dikeluarkan dengan 34 notis kesalahan dikeluarkan kepada golongan orang belum dewasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, 103 notis kesalahan dengan jumlah kompaun bernilai RM 25,750.00 turut dikeluarkan kepada pemilik premis.

Daripada jumlah itu, 79 notis kesalahan melibatkan kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan 24 notis kesalahan kerana menyediakan kemudahan merokok.

Katanya, rata-rata pemilik premis telah memberikan kerjasama dan menjalankan tanggungjawab mereka di dalam melaksanakan penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan.

“Peratusan kesalahan yang dilakukan pemilik premis jika dibandingkan dengan bilangan premis yang dilawati menurun daripada 47 peratus pada hari pertama Januari 2019 kepada 1.7 peratus pada hari pertama Januari 2020.

“Namun, bilangan perokok yang merokok di tempat makan masih tinggi dengan 10 peratus perokok didapati merokok di premis yang dilawati. Pihak KKM memohon kerjasama semua pihak agar mematuhi larangan merokok ini bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin,” katanya.

Terdahulu, KKM memaklumkan akan melaksanakan penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan bermula 1 Januari 2020 dengan kompaun maksimum sehingga RM350.

Dr Noor Hisham berkata, pemilik restoran turut bertanggungjawab memastikan tempat makan bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok atau berdepan kompaun jika gagal berbuat demikian.

Tinggalkan komen anda