Air France-KLM cadang beli pegangan saham besar dalam MAS – Sumber


shadow

Cadangan untuk melabur dalam syarikat penerbangan Malaysia Airlines salah satunya datang daripada Air France-KLM yang mahukan pegangan saham sebanyak 49 peratus, manakala Japan Airlines pula melihat pegangan 25 peratus kepentingan, kata sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.

Syarikat penerbangan domestik AirAsia Group Bhd dan cabang syarikat Indonesia Lion Air di Malaysia, Malindo Air turut mengemukakan cadangan, kata sumber itu.

“Bidaan daripada syarikat penerbangan asing lebih komprehensif dan strategik kerana kedua-duanya merancang untuk memanfaatkan lokasi strategik Malaysia bagi operasi mereka,” kata salah satu sumber.

Kerajaan Malaysia sedang mencari rakan kongsi strategik untuk syarikat penerbangannya, yang berusaha untuk pulih daripada dua tragedi – kehilangan misteri pesawat MH370 dan penembakan kapal terbang MH17 di timur Ukraine.

Pada 2014, MAS telah diswastakan kepada dana pelaburan negara Khazanah Nasional Bhd, yang membayar RM1.4 bilion untuk 30 peratus saham yang belum dimiliki.

Sumber-sumber bagaimanapun enggan dikenali kerana perbincangan mengenai hal itu adalah sulit. Wakil Air France-KLM, Japan Airlines (JAL), AirAsia dan Malindo tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan penjelasan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata semalam, kelima-lima cadangan telah diterima sebagai sebahagian daripada semakan yang bermula pada tahun lepas tetapi enggan menamakan pihak yang membuat lamaran itu.

Malaysia Airlines pada tahun lalu menandatangani perjanjian usaha sama dengan JAL yang meliputi penerbangan antara Malaysia dan Jepun, yang mana menurut syarikat penerbangan Jepun itu akan dapat diperluaskan pada masa depan untuk menampung penerbangannya ke Amerika Syarikat.

Malaysia Airlines dan JAL ialah anggota perikatan syarikat penerbangan Oneworld, manakala Air France-KLM pula sebahagian daripada perikatan SkyTeam.

Khazanah, yang melantik Morgan Stanley pada tahun lepas untuk menasihati potensi pilihan untuk syarikat penerbangan itu, berkata ia bekerjasama rapat dengan kerajaan.

“Walaupun ada beberapa cadangan dalam hal ini, semakan terhadap pilihan yang ada kepada kami masih berterusan,” kata Khazanah dalam satu kenyataan.

Sumber berkata Air France-KLM telah mencadangkan penubuhan hab bagi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih di Malaysia, sementara Japan Airlines pula menawarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau, termasuk bagi penerbangan tambang rendah.

Laman web berita perniagaan Focus Malaysia berkata semalam, dengan memetik satu dokumen rasmi bahawa Khazanah telah menggesa syarikat penerbangan jarak jauh AirAsia X untuk bergabung dengan Malaysia Airlines.

“Penyelesaian antarabangsa mungkin lebih baik dalam keadaan ini kerana AirAsia mempunyai kebimbangan terhadap persaingan,” kata satu sumber.

“Ini masih merupakan kerja yang sedang berjalan tetapi ceritanya berkisar mengenai potensi menjadi hub besar di Asia Tenggara dan jelas bahawa syarikat penerbangan antarabangsa melihat nilai pada Malaysia Airlines kerana hal ini,” kata sumber itu.

– Reuters

Tinggalkan komen anda