Anggota kumpulan Uden Rentap dicekup


shadow

POLIS menahan tujuh lelaki dan seorang wanita yang dipercayai anggota kumpulan Geng Uden Rentap dalam operasi khas polis di beberapa negeri awal bulan ini.

Kumpulan itu disyaki terbabit dalam kes samun dan ragut di sekitar Sungai Buloh dan Kuala Lumpur dengan menjadikan pejalan kaki terutama golongan wanita sebagai sasaran mereka.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata tangkapan suspek berusia 25 hingga 32 tahun itu adalah susulan kejayaan terdahulu polis menahan dua lelaki pada 2 Januari lepas.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan dalam Ops Rentap Khas bermula 4 Januari sehingga 11 Januari dalam empat serbuan iaitu di Taman Melawati Mall, Ampang; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Alor Setar, Kedah; dan Jalan Dato’ Keramat, Kuala Lumpur.

“Kesemua suspek mempunyai peranan masing-masing termasuk pembeli barangan kemas hasil curi dan suspek wanita pula menggadaikan barang kemas itu di kedai pajak gadai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Sungai Buloh, hari ini.

Beliau berkata hasil penahanan itu, polis merampas pelbagai barang antaranya barang-barang kemas seperti cincin emas, rantai emas, gelang emas, resit tebus pajak gadai, sebuah kereta Perodua Myvi dan wang tunai berjumlah RM1,750.

“Kesemua barang kemas yang dirampas bernilai kira-kira RM26,282,” katanya dan memberitahu siasatan polis mendapati kumpulan itu aktif sejak lima tahun lepas.

Shafa’aton berkata siasatan polis juga mendapati kumpulan itu terlibat dalam 70 kes di sekitar Sungai Buloh, Petaling Jaya, Gombak, Ampang, di Selangor serta Sentul dan Wangsa Maju di Kuala Lumpur.

Menurutnya semua lelaki yang ditahan itu didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah.

Tinggalkan komen anda