Anwar fail saman terhadap bekas pembantunya minggu depan, kata peguam


shadow

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim akan memfailkan saman fitnah terhadap bekas pembantunya Mohammed Yusoff Rawther minggu depan, kata peguam Ramkarpal Singh.

Saman itu akan mencabar perakuan sumpah (SD) Yusoff yang mendakwa serangan seksual dilakukan oleh ahli Parlimen Port Dickson itu dengan cuba memaksanya melakukan hubungan seks.

Saman itu dibuat susulan pengumuman oleh Pejabat Peguam Negara bahawa pendakwaan tidak akan dibuat terhadap Anwar kerana kekurangan bukti.

“Ini bagi mengesahkan saya menerima arahan daripada Datuk Seri Anwar beberapa hari lalu untuk memfailkan saman fitnah terhadap Muhammad Yusoff Rawther berkaitan kandungan perakuan sumpah yang dibuat olehnya pada 19 November, 2019.

“Memandangkan siasatan polis berhubung dakwaan dalam SD itu telah lengkap dan peguam cara negara baru-baru ini mengumumkan Anwar tidak akan didakwa susulan hasil siasatan itu, saya akan mengambil langkah yang perlu untuk memfailkan saman tersebut minggu hadapan,” kata Ramkarpal dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek berkata, berdasarkan kertas siasatan yang dihantar oleh polis,  wujud percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan terhadap mana-mana individu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain mengikut kanun sama.

Peguam cara negara itu membuat keputusan untuk tidak mengenakan pendakwaan kerana Peguam Negara Tommy Thomas menarik diri daripada kes berkenaan berikutan kaitannya dengan presiden PKR itu.

Yusoff hari ini menuntut Pejabat Peguam Negara menjelaskan kenyataannya dan apa maksud ‘percanggahan fakta yang material’ seperti dinyatakan.

Bekas penyelidik berusa 26 tahun itu mendakwa Anwar mencabulnya di rumahnya di Bukit Segambut pada 2 Ogos, 2018.

Beliau hanya mendedahkan dakwaan itu pada November tahun lalu dalam satu perakuan sumpah dan membuat laporan polis berhubung perkara itu pada Disember.

Anwar yang turut disoal siasat oleh polis menafikan dakwaan itu dan berkata, ketika kejadian beliau sibuk berkempen untuk pilihan raya kecil Port Dickson.

Polis menjalankan siasatan termasuk membuat ujian poligraf terhadap Yusoff selama empat jam, serta menemubual sekurang-kurangnya lapan orang saksi.

Tinggalkan komen anda