Anwar tak jadi saman Yusoff Rawther


shadow

PEGUAM kepada Anwar Ibrahim, Ramkarpal Singh menasihatkan presiden PKR itu agar tidak perlu lagi meneruskan hasrat memfailkan saman fitnah terhadap bekas penyelidiknya, Mohamed Yusoff Rawther.

Dalam satu kenyataan, Ramkarpal berkata sejak peguamcara negara menggugurkan kes itu berikutan kekurangan bukti, nama baik Anwar sudah dibersihkan.

“Minggu lalu saya mengumumkan menerima arahan daripada Anwar untuk memfailkan saman fitnah terhadap Yusoff berkenaan pelbagai tuduhan yang dibuat dalam akaun bersumpah (SD) Yusoff bertarikh 19.11.2019.”

“Selepas mempertimbangkan perkara itu lebih lanjut, saya menasihatkan Anwar, memandangkan peguamcara negara baru-baru ini memutuskan untuk tidak melakukan sebarang prosiding jenayah berkenaan tuduhan Yusoff terhadapnya dalam SD tersebut, kini tidak perlu meneruskan saman fitnah yang dicadangkan kerana nama baik Anwar sudah dibersihkan hasil keputusan peguamcara negara itu.”

“Tidak perlu lagi memfailkan saman fitnah dicadangkan yang akan mengambil masa agak lama dan melibatkan kos tidak perlu,” kata pengerusi biro undang-undang kebangsaan DAP itu.

Yusoff tahun lalu menuduh Anwar melakukan salah laku seksual ketika mereka bertemu di kediaman Anwar di Segambut.

Yusoff membuat tuduhan itu dalam SD dan juga membuat laporan polis.

Anwar menafikan dakwaan itu dengan berkata masa dan tarikhnya berkenaan, beliau berada di Port Dickson bagi pilihan raya kecil dan sibuk berkempen.

Yusoff menjalani ujian poligraf dan Anwar disoal oleh pihak polis mengenai kejadian yang didakwa itu.

Pada 14 Januari, Jabatan Peguam Negara mengumumkan tidak meneruskan dakwaan terhadap Anwar kerana fakta yang bercanggah dan bukti tidak mencukupi. 

Tinggalkan komen anda