Badan kehakiman masih boleh jalankan siasatan sendiri, kata peguam


shadow

SEORANG hakim tanpa sebarang konflik kepentingan boleh mengawasi siasatan dalaman berhubung campur tangan kehakiman dalam kes hasutan melibatkan mendiang Karpal Singh, kata Sangeet Kaur Deo.

Peguam berkenaan berkata demikian susulan kenyataan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat semalam yang siasatan dalaman terhadap dakwaan salah laku perundangan dibangkitkan dalam afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer, dihentikan kerana siasatan polis.

“Saya sudah membaca penjelasan diberikan oleh ketua hakim mengenai ketidakmampuan beliau menyiasat dakwaan campur tangan terhadap kes rayuan hasutan bapa saya kerana konflik jawatannya,” kata Sangeet seperti dilaporkan oleh Free Malaysia Today.

“Alasan yang sama diberi berkaitan ketidakmampuan Presiden Mahkamah Rayuan Ahmad Maarop untuk menyiasatnya.

“Walaupun saya boleh memahami konflik kepentingan mereka, ia bukan penjelasan yang boleh diterima mengapa siasatan tidak boleh dilakukan oleh hakim lain sehingga sekarang.”

Memandangkan Rohana Yusuf mengambil alih jawatan presiden Mahkamah Rayuan bulan lepas, beliau berkata tidak sepatutnya ada lagi penangguhan penyiasatan.

“Penyiasatan polis tiada kaitan dengan siasatan dalaman dilakukan oleh badan kehakiman. Ia tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menangguhkan siasatan dalaman. “

Beliau juga mempersoalkan kelewatan pembentukan suruhanjaya siasatan diraja berhubung campur tangan kehakiman, yang dijanjikan oleh kerajaan pada Februari lalu.

Tinggalkan komen anda