Badan Peguam tidak setuju pendedahan rakaman audio Najib, Rosmah


shadow

BADAN Peguam Malaysia tidak setuju dengan tindakan agensi anti-rasuah mendedahkan kepada umum rakaman perbualan melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor serta beberapa individu berprofil tinggi lain. 

Presidennya Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya menyerahkan rakaman audio itu kepada pihak berkuasa untuk disiasat terlebih dahulu, dan tindakan mendedahkan kepada umum akan mengundang pendakwaan oleh media terhadap mereka yang terlibat.

“Menyiarkan secara langsung perbualan telefon yang dirakam oleh SPRM tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia tidak betul serta mengundang perbicaraan oleh media sebelum siasatan dijalankan.

“SPRM sebaliknya hanya perlu maklumkan kepada umum kewujudan rakaman audio berkenaan dan membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan,” kata Gafoor dalam satu kenyataan hari ini.

Gafoor turut menyifatkan pendedahan itu sebagai “tidak wajar” dan berkata tindakan SPRM itu akan mengundang dakwaan bahawa ia adalah penghinaan, sub judis dan melanggar Akta Rahsia Rasmi.

“Badan Peguam menggesa siasatan yang telus terhadap pendedahan itu yang mempunyai kaitan dengan kepentingan awam.

“Kedaulatan undang-undang ditegakkan apabila prinsip ketelusan, akauntabiliti, tadbir urus yang baik dan kepentingan awam dijaga,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya ketika mendedahkan rakaman audio berkenaan semalam berkata, perbualan itu menunjukkan “salah guna kuasa yang serius, konspirasi jenayah, menghalang keadilan dan menjejaskan keselamatan negara”.

Beliau berkata ia terpulang kepada hakim untuk menentukan kebolehterimaan rakaman sebagai bukti sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah.

Perbualan itu melibatkan rancangan untuk memanipulasi maklumat peringkat tertinggi kerajaan dan permintaan Najib untuk menyelesaikan isu-isu tertentu melibatkan wang yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd.

Tinggalkan komen anda