Bekas pegawai AmBank fail permohonan batal saman Najib


shadow

Bekas pengurus hubungan AmBank Joanna Yu memfailkan permohonan untuk membatalkan saman terhadapnya yang dibuat Najib Razak, atas dakwaan mendedahkan maklumat perbankan bekas perdana menteri itu kepada ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Permohonan Yu itu dimaklumkan oleh peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Farhan ditemui pemberita selepas menghadiri pengurusan kes permohonan tersebut yang dibuat di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Kamal Md Shahid.

“Permohonan untuk membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan (saman Najib terhadap Yu) diserahkan kepada kami semalam.

“Joanna memfailkannya atas asas (saman Najib) merupakan penyalahgunaan proses mahkamah dan untuk tujuan sandaran. Tujuan sandaran di sini ialah ia (saman) didakwa untuk menguatkan pembelaan Najib terhadap kes SRC International,” katanya.

Farhan merujuk kepada perbicaraan terhadap Najib atas pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International yang sedang berlangsung.

Menurut Farhan, pendirian Najib pada masa ini berkaitan permohonan pembatalan saman itu adalah saman yang difailkannya perlu didengar di mahkamah selepas mengambil kira keterangan Yu ketika peringkat pendakwaan perbicaraan kes itu.

“Pendirian kami ialah perkara itu (saman Najib) tidak sesuai untuk dibatalkan kerana dia (Yu) perlu menjelaskan tindakannya secara terperinci (berkenaan dakwaan salah kendali akaun bank Najib), susulan keterangannya dalam (perbicaraan) SRC.

“Terutamanya berkenaan (keterangan Yu) menerima arahan daripada Low (berkenaan pengurusan akaun Najib,” katanya lagi.

Ketika perbicaraan tahun lalu, Yu antara lain berkata Low dan CEO SRC International ketika itu Nik Faisal Ariff Kamil telah mengarahkan AmBank untuk menyembunyikan nama Najib ketika memproses traksaksi perbankannya.

Tentang apa yang berlaku hari ini, Farhan berkata hakim menetapkan 4 Februari ini untuk meneruskan pengurusan kes permohonan Yu.

Katanya, ini kerana dokumen itu hanya diserahkan kepada pasukan peguam Najib pada tengah hari semalam dan mereka belum sempat untuk menelitinya secara keseluruhan.

“Kami perlu lebih masa (untuk menelitinya) dan mendapatkan arahan lanjut (daripada Najib),” katanya.

Pengurusan kes hari ini turut dihadiri peguam Jessica Ram Binwani dan Samuel Tan, masing-masing mewakili Yu dan defendan bersama, AmBank.

Pada 10 Disember lalu, Najib dilaporkan memfailkan saman terhadap dua pihak itu kerana didakwa mengambil arahan dan mendedahkan maklumat perbankannya kepada Jho Low.

Tinggalkan komen anda